W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

November 30, 2012

Hangat-hangat Tahi Ayam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Musim cuti.
Peribahasa itu sememangnya sesuai dengan saya. Mula-mula sahaja bersemangat untuk melakukan beberapa perkara dalam waktu cuti-cuti ini. Kemudian, apabila segala nikmat berada di rumah sudah diperolehi, semua perkara atau perancangan sebelum cuti terus tergendala sebegitu sahaja. Baiklah, antara perancangan yang telah dibuat bagi memenuhi musim cuti selama 7 minggu adalah seperti  berikut :

  • Belajar memasak
  • Ingin menolong mak menguruskan rumah
  • Cari kerja separuh masa (part-time)
  • Sambung lesen kereta
  • Cuba menghabiskan buku 'Ensiklopedia Islam'
  • Cuba hafal semula surah-surah lazim dan betulkan pembacaan
  • Cuba mengkhatamkan Al-quran dalam masa sebulan, satu hari 20 muka surat.
  • Menajamkan kemahiran melukis dan meng-upload-kan lukisan di dalam Deviantart
  • Membaca sebanyak mungkin perihal isu semasa
  • Membaca artikel-artikel agama
  • Melukis bahan pengajaran untuk Pensyarah.
  • Muhasabah diri 
  • Cari bahan dan nota bagi pembelajaran semester depan.

Terlalu banyak perkara yang ingin dilakukan, tetapi tidak berjaya dilakukan. Mengeluh dengan diri sendiri, malu kerana tidak dapat lakukan sebahagian besar daripada perancangan yang telah dilakukan. Beginilah hamba Allah yang lemah. Bila membaca dan memikirkan semula perkara-perkara yang ingin dilakukan, rasanya diri saya seolah-olah sibuk dan tidak pernah berasa jemu.
Realiti sebenar keadaan saya ketika cuti *mengeluh*

Serius, saya ingin memohon cuti dilanjutkan agar dapat merialisasikan setiap perancangan tersebut. Baiklah Amy, sila berhenti mengarut. Tidak semudah itu setiap permintaan dipenuhi. Jika ingin merealisasikan setiap perancangan tersebut, apa lagi jika awak sendiri yang mula bergerak dan berhenti menghabiskan masa di hadapan komputer riba ini. 

Nampak gayanya memang dikehendaki dengan cara sebegitulah, kan?

Sekian dan wassalam.


November 29, 2012

Kebingungan dengan Diri Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ya Allah, tatkala jiwa sedang seronok menikmati musim cuti selama beberapa minggu, perlbagai persoalan yang mula bermain dalam minda dan hati.

Pendek cerita, saya terasa cemas. Cemas kerana apa? Saya terasa risau dengan keputusan peperiksaan semester ini. Saya merasakan keputusan peperiksaan semester ini tidak memberangsangkan. Mungkin dek kerana saya tidak mengambil secara serius dalam pembelajaran semester ini dan lebih banyak ralit dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti Twitter dan Facebook. 

Baiklah, sila persalahan diri saya kerana saya memang seharusnya dipersalahkan. Apa yang merisaukan saya sekarang ini adalah jika sekiranya keputusan CGPA saya jatuh dan mengecewakan ibu dan bapa. Ya, sila persalahkan diri saya. Saya gagal menahan nafsu dan dibuai dengan keseronokkan dunia. *mengeluh*

SEDIH. SEDIH. SEDIH.

Jiwa dilanda kesedihan yang telalu ekstrim.

Jangan Salahkan Allah Jika Si Dia Tidak Sudi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Alhamdulillah, badan ini masih lagi berfungsi dan bergerak atas kehendak-Nya. Terima kasih atas nikmat yang tidak terhingga ini, ya Rabb.


Perasaan kecewa ini merupakan satu rasa yang biasa dialami oleh setiap hamba ciptaan Allah. Jika kita gagal dalam peperiksaan, putus cinta, atau tidak memperolehi sesuatu yang dihajati - pasti jiwa mereka akan dilanda oleh perasaan tersebut. Walaupun begitu, fokus kita dalam topik kali ini adalah berkaitan dengan cinta yang tidak disambut oleh pujangga hati.

Terdapat manusia yang kecundang dek kerana kecewa kerana masalah tersebut. Terdapat juga individu  yang masih kental jiwanya dengan meneruskan hidup dengan baik setelah memperolehi jawapan yang mana cinta hatinya tidak bersambut. Begitulah manusia yang telah diciptakan oleh Allah adalah berbeza daripada satu sama lain, lain daripada corak pemikiran, rasa, iman dan sebagainya.

Hati mula dihantui rasa sedih dan gelisah tatkala rasa kecewa tertanam dalam diri.

Apa-apa pun yang berlaku, jangan sedih dan janganlah gusar hatinya. Allah telah menetapkan setiap daripada kita mempunyai jodoh sejak kita berada dalam kandungan ibu yang mengandungkan kita. Percayalah pada Allah apa yang dikehendaki oleh-Nya. Jatuh cinta dan kecewa adalah sebahagian daripada perjuangan hidup dan keadaan tersebutlah yang sentiasa memantapkan kekuatan jiwa dan mental.

Jangan marah jika si dia tidak menerima anda, jangan marah jika si dia menolak anda kerana faktor fizikal anda, jangan marah jika si dia tida rasa cinta pada anda dan jangan mengeluh dan berdukacita jika si dia menolak anda kerana kekurangan yang ada pada diri anda. Si dia hanyalah 'alat' yang telah Allah kirimkan dalam hidup anda sebagai satu ujian untuk 'mengasah' anda yang sedang 'tumpul'. Apa yang berlaku adalah atas kehendak Allah dan jangan salahkan Allah atas apa yang telah Allah tetapkan dalam hidup anda.

Allah sentiasa memberikan yang terbaik dalam hidup kita. Setiap dugaan yang telah Allah tiupkan kepada hamba-Nya adalah tanda cintanya dan rindunya pada diri kita. Dugaan yang diberikan bukanlah bebanan, sebaliknya anugerah. Jangan fikir ianya daripada sudut yang negatif, sebaliknya jadikan ia sebagai iktibar dalam hidup yang mana dugaan yang diberikan adalah untuk menguatkan diri kita. Ya, tujuan Allah adalah untuk menguatkan diri kita.

Secara analoginya boleh digambarkan dalam satu keadaan yang mana doktor itu diibaratkan sebagai Pencipta kita, jarum suntikkan adalah dugaan dan diri anda adalah sebagai pesakit. Apabila doktor memberikan suntikan vaksin kepada anda, sudah tentu anda akan berasa sakit - reaksi anda sama ada menangis, menahan kesakitan atau memaki doktor tersebut. Bergantung kepada jenis pesakit juga, bukan? Jika dia seorang perengus, mungkin akan memaki dan memarahi, jika pesakit tersebut seorang yang penyabar dan berfikiran positif maka dia pasti akan menerima kesakitan tersebut demi kebaikkan dirinya.

Kemarahan yang dialami boleh jadi kepada doktor yang memberikan suntikan atau mungkin juga pesakit tersebut marah kepada jarum ke atas kesakitan yang dialaminya. Jika kemarahan yang dilemparkan adalah kepada jarum maka kita marah dan mengeluh kepada dugaan yang Allah berikan dan jika kita marah kepada doktor yang menyuntik kerana dia yang mengawal jarum tersebut, maka kita meletakkan rasa tidak puas hati atau marah kepada pencipta.

Dialog PESAKIT A dengan Doktor :
"Eh, doktor sakitlah! Kau faham tak aku rasa sakit ni?? Suntik tu elok-eloklah sikit!" 
"Bawak banyak bersabar, encik. Ini demi kebaikkan encik juga. Sakit ini kejap je. Lepas ni tak rasalah." 
"Sedap la doktor cakap bersabar la, lepas ini tak rasalah. Sakit itu saya yang merasa, bukan encik!"

Dialog PESAKIT B dengan Doktor :
"Doktor, saya terasa sakit dengan suntikan yang encik berikan." 
"Bawak banyak bersabar ye encik. Sakitnya sekejap sahaja. Ini pun untuk kebaikkan encik.." 
"Baiklah doktor.."

Begitulah dialog antara doktor dan pesakit. Dalam keadaan tersebut, si doktor cuba untuk meyakinkan kepada pesakit bahawa suntikan vaksin tersebut adalah demi kebaikkan pesakit tersebut. Penerimaan pesakit terhadap suntikkan yang diberikan bergantung kepada individu tersebut - lain orang lain reaksinya. Jika kita melihat kembali diri kita, kita berada dalam kategori mana? Pesakit A atau Pesakit B?

Kebanyakkan daripada diri kita selaku hamba-Nya yang lemah sentiasa mengeluh apabila Allah mengirimkan dugaan kepada kita. Memang itu hakikat manusia, lebih cenderung memilih sesuatu yang mudah daripada yang sukar tanpa memikirkan bahawa setiap kesukaran yang dihadapi itu sebenarnya untuk memantapkan diri kita - jiwa dan mental. Permasalahan inilah yang mematangkan diri kita. Tanyakan pada diri anda, adakah anda mahu menjadi seorang yang lemah atau kuat? Pilihan berada di tangan anda.

Jika anda mahu menjadi kuat, maka hadapilah dugaan tersebut dengan jiwa terbuka dan harapkan segala yang baik kepada Allah. Setiap penolakkan yang diterima oleh kita bukan sahaja menguatkan kita, malah mematangkan kita sehingga 'insan yang betul' itu berkunjung tiba dalam kehidupan kita. Saat seruan jodoh mula menyunting diri yang sedang keseorangan, maka itu tandanya Allah ingin mengatakan anda sudah bersedia.

Maka, jika anda sedang kesedihan sekarang ini dek kerana seorang pemuda atau wanita, maka bangkitlah. Jangan benarkan diri anda terus hanyut dalam usikkan jiwa dan lakukan sesuatu untuk mengatasi permasalahan jiwa ini. Dalam keadaan seperti inilah kita sepatutnya lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah, sibukkan diri anda dan jiwa anda dalam mengingati Allah kerana hanya dengan mengingati Maha Esa sajalah yang mampu menjadikan diri anda lebih tenang.

Akhir kata daripada saya :

Ingatlah bahawa dugaan yang Allah kirimkan kepada saudara/saudari adalah untuk menguatkan kalian. Hanya pengalaman yang mematangkan dan memantapkan kita yang dulunya tumpul dan telah diasah oleh masalah untuk menajamkan kita agar kita dapat memberi manfaat pada masa akan datang. Tambahan lagi, yakinlah bahawa Allah sentiasa memberikan yang terbaik buat hamba-Nya. 

Maka dengan ini, saya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik kepada kalian. Teruskan perjuangan dalam membina diri menjadi lebih baik. Semoga Allah memberikan kekuatan yang berlipat ganda kepada kalian.

Selesai sahaja coretan daripada saya. Sekian dan wassalam.




November 28, 2012

Hilang Nyawa Kerana Si Teruna

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini nak tulis tentang apa ya? Kalau sudah dikenali dengan blog peribadi, maka sudah tentulah perkara yang sangat peribadi, kan? Biasanya saya akan tulis luahan rasa, kadang kala boleh jadi positif dan kadang kala negatif. Biasalah, manusia ni perlu seimbang. Kalau terlalu positif pun tidak baik juga. Sebagai contoh, kalau terlalu fikir atau terlalu baik takut ada orang ambil kesempatan. Bak kata pepatah melayu dulu-dulu, baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Kembali kepada topik, perkara yang ingin saya sampaikan pada kali ini berikutan dengan kejadian kematian seorang gadis berumur 16 tahun yang telah maut sebelum berjumpa dengan kekasih hatinya. Iya, cerita beberapa hari lepas. Benda ni kalau nak cerita lebih-lebih pun, rasa macam diri ini tidak layak kerana saya sendiri pun tidak berada di posisi keluarga dan rakan-rakan arwah.

Kematian sebagaian daripada realiti kehidupan.

Apa yang saya boleh ambil daripada hikmah kejadian tersebut, kita perlu sedar peranan kita sebagai seorang anak, terutama bagi yang beragama islam. Adalah menjadi kewajipan seorang anak untuk mendengar kata kedua orang tuanya dalam apa jua hal, kecuali perkara yang mengundang kemurkaan Allah, maka anaknya wajib tidak laksanakan tuntutan kedua orang tuanya. 

Berdasarkan cerita yang telah saya perolehi daripada laman sosial twitter, teman lelaki arwah tidak menceritakan secara terus perkara yang menyebabkan berlakunya kemalangan, namun begitu jika dibaca twit-twit yang telah ditulis, kita akan sedikit demi sedikit mendapat keseluruhan cerita. Secara jujur, semakin saya mengikuti perkembangan twit si pemuda, hari saya merasa sakit dan geram.

Kejadian yang berlaku adalah atas kehendak Allah kepada kita untuk menjadi pengajaran dalam hidup agar kita sentiasa sedar setiap langkah yang kita ambil ini sebenarnya mempunyai risiko yang tersendiri. Berdasarkan cerita yang telah saya perolehi hasil penelitian dan pembacaan daripada laman sosial pemuda tersebut dan berita yang telah ditulis dalam kosmo, arwah telah mengambil risiko untuk keluar daripada rumah tanpa restu ibunya untuk berjumpa dengan teman lelakinya.

Bila cinta terlalu buta sehingga melupakan yang Esa, maka akan ada segelintir manusia itu lupa akan peranannya sebagai seorang anak di mata Allah. Setiap langkahnya diburu rasa rindu kepada manusia dan dunianya sendiri hingga perilaku yang dihasilkan hanya memperjudikan nyawa sendiri. Kemalangan berlaku dan masa tidak boleh diundur kembali. Alangkah sedih bila manusia ini telah pergi dalam keadaan yang sia-sia.

Kesedihan menyelubungi mereka. - gambar hiasan.

Sebagai seorang muslim, saya kecewa dengan sikap mereka dan sedih dengan keadaan yang terjadi. Teman lelaki arwah menyalahkan ibu dan adik arwah atas kejadian yang menimpa arwah, sedangkan keluarganya mempunyai hak ke atas arwah untuk menghalang setiap tindak tanduk yang boleh mengundang dosa. Jika si teruna merasa sedih atas kehilangan arwahnya, mengapa tidak melihat kembali kepada posisi ibunya yang telah mengandungkan arwah dengan penat lelah selama 9 bulan? Siapakah lebih dalam cintanya kepada arwah? Ibu atau teman lelakinya?

Wahai wanita, kalian perlu sedar pada siapakah yang kita perlu sandarkan kasih dan cinta. Saya pernah bercinta dan pernah kecewa kerana cinta. Tatkala jiwa saya menangis kerana seorang pemuda, siapakah yang berada di sisi saya? Siapakah yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan ketika saya merintih dan merindui seseorang? Hanya Allah dan keluarga saya yang berada disisi. Allah telah memberi saya kekuatan untuk terus bersabar dalam mengharungi dugaan yang diberi oleh-Nya. Manakala ibu pula sentiasa mententeramkan dan memberi sokongan mental kepada saya untuk mengatasi masalah jiwa yang melanda diri. 

Tiada siapa yang lebih mengerti, hanya mereka yang melihat. Merekalah yang lebih banyak melihat dan mengetahui rintihan dan kedukaan yang saya hadapi. Tidak dilupakan juga rakan-rakan yang sentiasa memberi motivasi untuk bangun daripada terus tenggelam dalam rasa kepahitan, namun tiada siapa yang lebih memahami saya selain daripada Allah yang telah menciptakan saya dan ibu yang telah melahir dan membesarkan saya.

Jadi nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana, janganlah terlalu mudah dalam memberi dan menyandarkan rasa kasih yang belum tentu dimiliki atau memiliki. Letakkan rasa kasih dan cinta kepada yang Hakiki kerana hanya dengan mengenal Allah, insya-Allah kita tidak akan terlalu buta dalam mengejar cinta hamba-Nya. Buka mata, buka minda dan buka hati serta percayalah kepada yang Esa. Jodoh pertemuan seseorang hamba itu ada di tangan Allah, dialah menentukan jodoh kita sejak kita berada di dalam perut insan yang mengandungkan kita.

Sebagai hamba yang hina, saya mendoakan kalian mendapat jodoh yang terbaik. Amin. :)

Sekian dan wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...