W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

November 29, 2012

Jangan Salahkan Allah Jika Si Dia Tidak Sudi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Alhamdulillah, badan ini masih lagi berfungsi dan bergerak atas kehendak-Nya. Terima kasih atas nikmat yang tidak terhingga ini, ya Rabb.


Perasaan kecewa ini merupakan satu rasa yang biasa dialami oleh setiap hamba ciptaan Allah. Jika kita gagal dalam peperiksaan, putus cinta, atau tidak memperolehi sesuatu yang dihajati - pasti jiwa mereka akan dilanda oleh perasaan tersebut. Walaupun begitu, fokus kita dalam topik kali ini adalah berkaitan dengan cinta yang tidak disambut oleh pujangga hati.

Terdapat manusia yang kecundang dek kerana kecewa kerana masalah tersebut. Terdapat juga individu  yang masih kental jiwanya dengan meneruskan hidup dengan baik setelah memperolehi jawapan yang mana cinta hatinya tidak bersambut. Begitulah manusia yang telah diciptakan oleh Allah adalah berbeza daripada satu sama lain, lain daripada corak pemikiran, rasa, iman dan sebagainya.

Hati mula dihantui rasa sedih dan gelisah tatkala rasa kecewa tertanam dalam diri.

Apa-apa pun yang berlaku, jangan sedih dan janganlah gusar hatinya. Allah telah menetapkan setiap daripada kita mempunyai jodoh sejak kita berada dalam kandungan ibu yang mengandungkan kita. Percayalah pada Allah apa yang dikehendaki oleh-Nya. Jatuh cinta dan kecewa adalah sebahagian daripada perjuangan hidup dan keadaan tersebutlah yang sentiasa memantapkan kekuatan jiwa dan mental.

Jangan marah jika si dia tidak menerima anda, jangan marah jika si dia menolak anda kerana faktor fizikal anda, jangan marah jika si dia tida rasa cinta pada anda dan jangan mengeluh dan berdukacita jika si dia menolak anda kerana kekurangan yang ada pada diri anda. Si dia hanyalah 'alat' yang telah Allah kirimkan dalam hidup anda sebagai satu ujian untuk 'mengasah' anda yang sedang 'tumpul'. Apa yang berlaku adalah atas kehendak Allah dan jangan salahkan Allah atas apa yang telah Allah tetapkan dalam hidup anda.

Allah sentiasa memberikan yang terbaik dalam hidup kita. Setiap dugaan yang telah Allah tiupkan kepada hamba-Nya adalah tanda cintanya dan rindunya pada diri kita. Dugaan yang diberikan bukanlah bebanan, sebaliknya anugerah. Jangan fikir ianya daripada sudut yang negatif, sebaliknya jadikan ia sebagai iktibar dalam hidup yang mana dugaan yang diberikan adalah untuk menguatkan diri kita. Ya, tujuan Allah adalah untuk menguatkan diri kita.

Secara analoginya boleh digambarkan dalam satu keadaan yang mana doktor itu diibaratkan sebagai Pencipta kita, jarum suntikkan adalah dugaan dan diri anda adalah sebagai pesakit. Apabila doktor memberikan suntikan vaksin kepada anda, sudah tentu anda akan berasa sakit - reaksi anda sama ada menangis, menahan kesakitan atau memaki doktor tersebut. Bergantung kepada jenis pesakit juga, bukan? Jika dia seorang perengus, mungkin akan memaki dan memarahi, jika pesakit tersebut seorang yang penyabar dan berfikiran positif maka dia pasti akan menerima kesakitan tersebut demi kebaikkan dirinya.

Kemarahan yang dialami boleh jadi kepada doktor yang memberikan suntikan atau mungkin juga pesakit tersebut marah kepada jarum ke atas kesakitan yang dialaminya. Jika kemarahan yang dilemparkan adalah kepada jarum maka kita marah dan mengeluh kepada dugaan yang Allah berikan dan jika kita marah kepada doktor yang menyuntik kerana dia yang mengawal jarum tersebut, maka kita meletakkan rasa tidak puas hati atau marah kepada pencipta.

Dialog PESAKIT A dengan Doktor :
"Eh, doktor sakitlah! Kau faham tak aku rasa sakit ni?? Suntik tu elok-eloklah sikit!" 
"Bawak banyak bersabar, encik. Ini demi kebaikkan encik juga. Sakit ini kejap je. Lepas ni tak rasalah." 
"Sedap la doktor cakap bersabar la, lepas ini tak rasalah. Sakit itu saya yang merasa, bukan encik!"

Dialog PESAKIT B dengan Doktor :
"Doktor, saya terasa sakit dengan suntikan yang encik berikan." 
"Bawak banyak bersabar ye encik. Sakitnya sekejap sahaja. Ini pun untuk kebaikkan encik.." 
"Baiklah doktor.."

Begitulah dialog antara doktor dan pesakit. Dalam keadaan tersebut, si doktor cuba untuk meyakinkan kepada pesakit bahawa suntikan vaksin tersebut adalah demi kebaikkan pesakit tersebut. Penerimaan pesakit terhadap suntikkan yang diberikan bergantung kepada individu tersebut - lain orang lain reaksinya. Jika kita melihat kembali diri kita, kita berada dalam kategori mana? Pesakit A atau Pesakit B?

Kebanyakkan daripada diri kita selaku hamba-Nya yang lemah sentiasa mengeluh apabila Allah mengirimkan dugaan kepada kita. Memang itu hakikat manusia, lebih cenderung memilih sesuatu yang mudah daripada yang sukar tanpa memikirkan bahawa setiap kesukaran yang dihadapi itu sebenarnya untuk memantapkan diri kita - jiwa dan mental. Permasalahan inilah yang mematangkan diri kita. Tanyakan pada diri anda, adakah anda mahu menjadi seorang yang lemah atau kuat? Pilihan berada di tangan anda.

Jika anda mahu menjadi kuat, maka hadapilah dugaan tersebut dengan jiwa terbuka dan harapkan segala yang baik kepada Allah. Setiap penolakkan yang diterima oleh kita bukan sahaja menguatkan kita, malah mematangkan kita sehingga 'insan yang betul' itu berkunjung tiba dalam kehidupan kita. Saat seruan jodoh mula menyunting diri yang sedang keseorangan, maka itu tandanya Allah ingin mengatakan anda sudah bersedia.

Maka, jika anda sedang kesedihan sekarang ini dek kerana seorang pemuda atau wanita, maka bangkitlah. Jangan benarkan diri anda terus hanyut dalam usikkan jiwa dan lakukan sesuatu untuk mengatasi permasalahan jiwa ini. Dalam keadaan seperti inilah kita sepatutnya lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah, sibukkan diri anda dan jiwa anda dalam mengingati Allah kerana hanya dengan mengingati Maha Esa sajalah yang mampu menjadikan diri anda lebih tenang.

Akhir kata daripada saya :

Ingatlah bahawa dugaan yang Allah kirimkan kepada saudara/saudari adalah untuk menguatkan kalian. Hanya pengalaman yang mematangkan dan memantapkan kita yang dulunya tumpul dan telah diasah oleh masalah untuk menajamkan kita agar kita dapat memberi manfaat pada masa akan datang. Tambahan lagi, yakinlah bahawa Allah sentiasa memberikan yang terbaik buat hamba-Nya. 

Maka dengan ini, saya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik kepada kalian. Teruskan perjuangan dalam membina diri menjadi lebih baik. Semoga Allah memberikan kekuatan yang berlipat ganda kepada kalian.

Selesai sahaja coretan daripada saya. Sekian dan wassalam.




No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)