W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

December 13, 2013

Keganasan Seksual di Republik Congo

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 



Penulisan kali ini bukanlah ditulis oleh diriku dan ianya merupakan penulisan oleh seseorang penulis yang diperolehi menerusi laman sosial Facebook. Ianya satu penulisan yang mantap dan mengenai keganasan sosial yang terpaksa dihadapi oleh wanita-wanita, gadis-gadis dan kanak-kanak yang telah menjadi mangsa keganasan secara seksual (rogol) oleh lelaki-lelaki di Republik Congo kerana pergaduhan sesama etnik yang terbesar. Berikut merupakan penceritaan dan penghuraian yang lebih teliti dan spesifik.

*******************************************************

Isu berkaitan kes rogol di Republik Congo sangat luarbiasa berbanding negara lain. Seorang pegawai kanan di Bangsa Bangsa Bersatu sendiri menggelar Republik Congo adalah ‘Pusat Rogol Dunia’. Jika diamati secara mendalam kes-kes rogol yang berlaku sangat tidak masuk akal dan di luar logik akal. Memang banyak juga terjadi kes-kes rogol di semua negara termasuk Malaysia pun tetapi jika jumlah yang dirogol dan perogolnya sangat banyak malah melibatkan banyak strata masyarakat ia merupakan satu gambaran betapa rendahnya tahap akal masyarakat mereka. Lebih hina lagi mangsa-mangsa rogol majoritinya kanak-kanak bawah umur serendah 18 bulan. Sehinggakan ramai yang mati kerana kecederaan dalaman yag serius.

Kes rogol di Republik Congo yang berleluasa sebenarnya bermula sejak awal 1990an lagi apabila perang saudara mula meletus di sana. Perseteruan antara pemberontak dan pihak tentera membentuk sokongan yang pelbagai di kalangan rakyat yang terhimpit. Rogol dianggap satu cara serangan kepada musuh dan dilakukan oleh kedua-dua pihak termasuk tentera kerajaan.

Menurut AFP Isu serangan kepada bayi dan kanak-kanak perempuan sudah sekian lama berleluasa tetapi kerajaan tidak serius menanganinya sekalipun mempunyai perundangan yang berat terhadap jenayah rogol. Rogol dianggap senjata peperangan dan amalan itu dilakukan dengan tanpa rasa bersalah dan diarahkan secara rahsia dalam arahan ketenteraan masing-masing. 

Sebelum mengulas jauh berkaitan insiden rogol ini. Kita lihat dulu sejarah negara ini untuk mendapatkan sedikit gambaran apa yang mendorong tradisi perang yang sangat kejam ini. Congo memperolehi kemerdekaan pada tahun 1960. Presiden baru ketika itu Mobutu telah memberi nama baru kepada negara ini sebagai Zaire. Mobutu telah mentadbir negara itu dengan autokratik dan kejam. Beliau yang mengasaskan rogol sebagai satu cabang ketenteraan.

Rogol bukan sahaja dilakukan kepada kanak-kanak kecil tetapi juga wanita dewasa tanpa mengira umur. Malah turut dilaporkan kes-kes lelaki dari semua peringkat usia turut diperkosa oleh lelaki dan wanita dengan niat mencetuskan gangguan emosi yang teruk selain dicederakan. Perkara yang sama turut dilakukan oleh pihak pemberontak yang membalas dendam kepada keluarga-keluarga pihak yang menyokong kerajaan. 

Pada tahun 1995 bertambahnya kemasukan militan asing kerana perang yang berlaku di Rwanda di mana pembunuhan besar-besaran berlaku kepada rakyat berbeza etnik yang merupakan kekejaman lazim antara pemberontak di beberapa negara Afrika khususnya Rwanda dan Burundi. Etnik Hutu yang merupakan majoriti di kedua-dua negara ini telah melancarkan serangan kebencian besar-besaran kepada etnik Tutsis yang merupakan etnik kedua terbesar di negara-negara berkenaan.

Hasutan pemimpin dan kebencian yang dilancarkan melalui serangan perang dengan pembunuhan kejam termasuk merogol sampai mati adalah manifestasi kebencian melampau antara rakyat sama negara sama ‘hitam’ dan sama postur tubuh malah bahasa yang sama cuma berlainan etnik sahaja ini. Hanya etnik Twa yang turut berkongsi ciri yang sama kecuali tubuh badan yang lebih kecil. 

Peliknya rasa kebencian antara Hutu dan Tutsis sangat melampau sekalipun mereka berkongsi akar keturunan. Tujuan saya berkongsi perihal suku Hutu adalah untuk menggambarkan asal tradisi rogol melampau di Congo. Apabila militan dan rakyat dari kedua-dua pihak menyeberang sempadan kerana keganasan perang saudara di Rwanda khususnya kemuncaknya pada tahun 1994 apabila hampir 800 ribu rakyat kaum Tutsis dibunuh dengan kejam secara besar-besaran oleh Kaum Hutu yang merupakan etnik terbesar di sana.

Keganasan ini menyebabkan sebahagian besar rakyat dari kedua-dua etnik melarikan diri ke Congo dan menambah lagi parah kepada amalan perang melalui rogol di negara berkenaan. Sekalipun tentera Congo turut mengamalkan serangan melalui rogol untuk menimbulkan ketakutan dan kesan trauma melampau tetapi perkara ini lebih diburukkan oleh militan Hutu yang turut sama menyerang penduduk Congo dengan cara yang dikatakan lebih kejam dan tiada perikemanusiaan langsung.

Perang Congo pertama merupakan berakhirnya pemerintahan Mobutu pada tahun 1995 dan diambil alih oleh AFDL (Alliance of Democratic Forces for The Liberation of Republic of Congo) diketuai Laurent Kabila apabila sepenuhnya menguasai bahagian Timur negara Congo. Namun demikian Joseph Kabila yang telah dipilih melalui pengundian dalam pilihanraya untuk menjadi presiden negara berkenaan. Perang Congo kedua turut meletus tidak lama kemudian dan berakhir pada tahun 2006.

Sekalipun perang secara rasmi tidak wujud apalagi dengan kehadiran pasukan pengaman dari Bangsa Bangsa Bersatu tetapi terdapat serangan berterusan antara puak dan pihak kerajaan sendiri. Semua serangan ganas ini tertumpu banyak di bahagian Timur Congo. Ini termasuk pertempuran sengit pada tahun 2007 antara tentera kerajaan Congo dan pemberontak Tutsis.

Antara sebab yang mencetuskan huru hara termasuklah perebutan tanah, sumber asli dan masalah ekonomi penduduk yang menjadikan emosi kebanyakan mereka menjadi terganggu dan bertindak di luar jangka. Selain kurang pemahaman terhadap hak-hak kemanusiaan. Rendahnya tahap pendidikan di negara berkenaan menyumbang kepada permasalahan sosial yang sentiasa memburuk. 

Menurut United Nation (Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu) sejak tahun 1998 lebih daripada 200 ribu kes rogol dilaporkan. Ini tidak termasuk yang sengaja didiamkan oleh mangsa dan keluarganya. Kejadian rogol dilakukan oleh kedua-dua pihak Tentera dan Pemberontak kepada pihak masing-masing. Dalam perang 5 tahun yang berakhir 2003 dulu 5 juta orang kebanyakan orang awam terbunuh. Dan antara 2006-2007 dlaporkan sebanyak 400 ribu keganasan seksual dilaporkan dalam tempoh kemuncak keganasan 12 bulan itu.

Tahun 2009 juga menyaksikan 7500 kes dilaporkan berlaku di Kivu dan banyak lagi tidak dilaporkan kerana rakyat tidak yakin kerajaan akan mengambil tindakan. Dalam beberapa kes selepas rogol mangsa dibunuh kejam termasuk disiat-siat tubuh. Human Right Watch (HRW) mengatakan dalam serangan bulan mac 2013 lalu pembunuhan dan rogol berlaku besar-besaran di bandar Goma oleh pemberontak manakala pihak tentera Congo membalas sama di Minova dengan menyerang etnik mereka pula.

Keganasan secara seksual mampu memberi kesan yang teruk
kepada mental  mangsa(trauma).

Dalam kebanyakan serangan wanita dirogol didepan bapa, suami dan anak-anak mereka dan mangsa-mangsa termasuk bayi-bayi kecil. Malah setiap aksi rogol dilakukan secara beramai-ramai dan berganti-ganti tanpa perasaan belas. Dalam satu insiden di Minova seorang warga emas berusia lebih 60an telah dirogol 3 lelaki. Dua dari depan dan seorang dari belakang di depan keluarganya. Beliau kini menghadapi trauma melampau dan lebih malang dibenci dan disindir suaminya sendiri yang mengatakan dia adalah isteri askar serta tidak mahu mendekatinya lagi (artikel berkaitan ada saya letak dalam komen).

Sebuah Kem Khas Pelarian mangsa rogol telah ditubuhkan dan diketuai serta dijaga oleh wanita kesemuanya kerana kebanyakan sangat trauma kepada lelaki disebabkan insiden rogol yang melampau. Sekalipun kerajaan menjamin untuk mengambil tindakan kepada tentera dan pegawai-pegawai kanan mereka yang terlibat sama tetapi penduduk terus skeptikal perkara ini akan berlaku. Pihak UN sendiri baru-baru ini mengugut kerajaan Congo untuk serius menghentikan serangan rogol kejam begini atau mereka akan keluar dari pasukan Pengaman.

Dalam satu kajian The Journal of American medical Association, 37.9% wanita di timur Congo menerima keganasan seks termasuk rogol. Dalam kajian pada 2010 pula, 1 daripada 5 orang wanita di timur Congo mengadu dirogol. Seorang pemberontak remaja yang baru berusia 16 tahun berkata mereka diberikan arahan untuk melakukan apasaja kepada wanita tanpa mengira usia dan dia telah mula merogol sejak berusia 14 tahun lagi. Mangsa rogol tidak hanya terhad kepada wanita saja.

Menurut pihak yang sama 23.6% lelaki di timur congo juga mengalami keganasan seks termasuk rogol. Dengan kajian yang sama didapati 1 daripada 4 lelaki telah mengalami keganasan seks dan merangkumi 10% daripada keseluruhan keganasan seks di Congo. Perogol-perogol kepada kaum lelaki kebanyakannya melibatkan wanita-wanita ganas dan dalam sebahagian kes lagi oleh lelaki sendiri.

Mangsa rogol lelaki juga menghadapi trauma dan digelar ‘Bush Wives’. Mereka memerlukan rawatan yang berbeza daripada mangsa wanita kerana tekanan yang tidak sama. Dalam seluruh kejadian keganasan seks 65% terjadi kepada kanak-kanak perempuan dan 10% daripadanya di bawah usia 10 tahun. Salah satu yang menjadi punca kepada kejadian ini adalah pemerdagangan manusia untuk tujuan pelacuran dan buruh paksa. Banyak kanak-kanak perempuan dipaksa menjadi pelacur di kem-kem pelarian, pasar-pasar, lombong-lombong dan pondok-pondok termasuk khemah yang didirikan khas untuk tujuan berkenaan.

Keganasan seks bukan sahaja menjadi mangsa rogol tapi juga termasuk keganasan yang melibatkan perbuatan seperti memasukkan botol ke kemaluan, masukkan ranting dan benda ke faraj dan dubur, memaksa mangsa melakukan seks sesama sendiri seperti anak lelaki dengan ibu dan adik beradik begitu juga bapa dan anak perempuan dsb, menuang getah cair ke dalam faraj, menembak faraj dengan pistol, ‘inducing’ objek untuk menggugurkan kandungan dan banyak lagi tindakan yang tidak bertamadun dilakukan oleh manusia yang sangat jahat akal fikirnya.

Pesalah pula kebanyakan adalah tentera dan militan. Namun terdapat juga banyak kes dilakukan oleh penculik-penculik untuk tujuan pemerdagangan manusia selain turut dilaporkan juga dilakukan oleh polis, orang awam dan penjenayah yang mengambil kesempatan dengan merogol mangsa yang telah dirogol. Dikatakan 54% daripada perogol adalah tentera FARDC (akronim dalam Bahasa Perancis untuk Tentera Congo) mengikut kajian tahun 2007 oleh UN.

Bulan April lalu 12 Pegawai Kanan tentera telah didakwa kerana memberi arahan rasmi dan direkodkan untuk merogol rakyat yang diserang. Mereka telah dipertanggungjawabkan terhadap kejadian rogol besar-besaran khususnya insiden bulan November 2012 lepas iaitu tragedi di Goma dan Minova yang melibatkan mangsa dengan jumlah yang sangat besar. Pihak militan yang menguasai bandar goma menghalau tentera kerajaan.

Tentera pula bertindak merompak dan merogol sebagai melempiaskan kekecewaan kepada kekalahan dalam pertempuran berkenaan. Mereka merogol kerana marah dan benci satu perlakuan yang sangat tidak masuk akal. Tetapi ada juga kes seperti seorang askar berusia 22 tahun yang ditangkap setelah memperkosa 53 wanita (artikel ada diberi di Komen) Beliau berkata diberi arahan boleh buat apasaja bila melihat wanita. Malah Ketua mereka memberi arahan khas dalam taklimat sebelum serangan untuk merogol sekurang-kurangnya 10 wanita. Beliau telah merogol termasuk kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun.

Tindakan askar-askar Congo tidak mencerminkan sikap pegawai kerajaan sewajarnya dan sikap mereka ini menjadikan negara mereka terus jauh dari rahmat dan kebahagiaan. Satu resolusi keselamatan dari PBB (UN) artikel 1888 yang berkaitan dengan usaha kearah menjaga kebajikan wanita dari serangan seks di negara-negara berperang tetapi tidak banyak usaha dilakukan oleh kerajaan Congo dalam hal ini. Namun barubaru ini setelah diberi tekanan lebih serius oleh PBB kerajaan Congo mula menguatkuasakan usaha kearah mempastikan tindakan lebih berkemanusiaan dilakukan oleh askar-askar negara mereka sendiri dan berjanji menyiasat semua insiden keganasan seks yang dilaporkan. Ini yang akhirnya membawa penahanan 12 pegawai kanan tentera berkenaan.

CNN melaporkan menurut Wakil Khas UN Margot Wallstorm bahawa 48 wanita dirogol setiap jam di Congo. Menurut laporan berkenaan juga. Situasi memaksa mereka berhadapan dengan risiko rogol yang kebanyakan berlaku di tempat terbuka dan di luar rumah ketika bekerja di kebun dan ladang. Mereka hanya ada dua pilihan kebuluran dan terus di rumah atau mendapatkan makanan tetapi menghadapi risiko rogol di luar. Kebanyakan demi hidup terpaksa mengambil risiko kedua.

Satu peristiwa tragis yang dilalui Masikka Katsuva ialah apabila rumahnya diserang oleh pemberontak. Suaminya dibunuh dan dikerat-kerat dan beliau dipaksa makan kemaluan suaminya. Anak-anak gadisnya berusia 14 dan 15 tahun dirogol beramai-ramai sehingga keduanya mengandung dan melahirkan anak. Keluarga suaminya membencinya kerana mereka dirogol walaupun bukan salah mereka.

Dia membawa kedua-dua anaknya dan ‘cucu’ ke tempat lain dan mulakan hidup baru. Semangat kuat beliau menjadikan beliau dilantik sebagai ‘mother figure’ dan banyak membantu mangsa keganasan seks dengan memberi bantuan psikologi dan perubatan kepada mangsa-mangsa di kem pelarian wanita mangsa keganasan seks.

Apabila dibandingkan dengan kehidupan kita di negara ini. Kita wajar sangat bersyukur kerana terhindar dari suasana yang menakutkan sebegini. Tidak dinafikan ada juga kes-kes keganasan seks menggemparkan negara sesekali tetapi tidak sekerap di Congo yang sehingga kini ‘berbangga’ dengan jolokan The RAPE capital of the World.

Memang agak malang negara-negara barat yang sering campur tangan dengan urusan negara-negara lain kononnya atas faktor keselamatan dan kebajikan tetapi bersikap selektif dalam beberapa isu lain. Amerika, Russia, Britain dan semua negara maju lain tidak serius dalam menangani isu ini di Congo. Jika di negara lain seperti di Iraq dan Libya mereka cepat mengambil keputusan dan bertindak tetapi kenapa tidak turut sama menyerang pihak yang menimbulkan keganasan di Congo.

 Jika keganasan berlaku kepada orang-orang kulit putih mereka akan cepat menyelar bangsa dan agama tertentu sebagai pengganas. Mereka juga mudah mencampuri mana-mana negara dalam konflik dalaman mereka atas nama pencegahan terhadap keganasan. Agak ironi sikap ini tidak ditunjukkan dalam isu di Congo ini

Kita bersyukur kerana hidup dalam suasana negara ditadbir dengan penuh hemah dan bijaksana. Kita boleh hidup aman damai dan pendidikan yang semakin maju membentuk kumpulan masyarakat yang bijaksana berfikir dan boleh membezakan perkara baik dan tidak. Masyarakat yang maju pemikirannya akan merangsang pihak lain untuk mengekalkan budaya cara berfikir sama. Moga keganasan melampau di Congo akan berakhir sepenuhnya dan mereka hidup dengan tenang dan aman.

Pada masa yang sama kita semua wajar menjadikan apa saja yang terjadi di negara-negara lain sebagai pengajaran berguna. Dalam apa jua situasi kita mesti tidak hilang pertimbangan dan mendahului nilai-nilai agama dan kemanusiaan sejagat dalam tindak tanduk agar tidak melakukan kekejaman dan menganiaya orang lain. Setiap kebaikan yang kita lakukan adalah sedekah dan akan dibalas dengan kebaikan. Setiap kejahatan akan pasti berbalik kepada diri sendiri.



*******************************************************

Sekian dan wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...