W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

November 29, 2017

NILAI USAHA MURID-MURID UPSR

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. 

Alhamdulillah. Sudah tiba saat yang dinanti-nantikan oleh para guru yang mengajar kelas peperiksaan UPSR bagi tahun 2017. Penantian dari bulan September hinggalah November merupakan suatu penantian yang sangat mendebarkan. Setiap guru ingin mengetahui keputusan peperiksaan pelajar dan kemampuan pengajaran dan penat lelah mereka setelah beberapa bulan bertungkus-lumus mempersiapkan murid-murid bagi menghadapi peperiksaan ini. begitulah juga dengan diri saya. 

Pada 23 November 2017, bersamaan dengan hari Khamis, keputusan peperiksaan UPSR telahpun dikeluarkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia kepada pihak sekolah. Berpusu-pusu guru yang mengajar kelas peperiksaan 'meng-update' kejayaan mereka dalam laman sosial Facebook dengan mempamerkan rasa gembira, bangga serta bersyukur akan kejayaan diperoleh oleh anak didik mereka. Ada juga yang menggembar-gemburkan keputusan cemerlang "Miss/Mr Straight A's' dalam laman sosial mereka.

Tapi, bagaimana pula dengan saya?

Adakah saya membuat perkara yang sama?

Nope, tidak sama sekali.

Tapi mengapa saya tidak berbuat demikian? 

Mengapa saya tidak mempamerkan keputusan anak murid dan kebanggaan saya dalam media sosial?

Pertama sekali, tiada seorang pun murid saya yang mendapat 'straight' A dalam UPSR di sekolah namun masih ada dalam kalangan murid yang mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu dan 17 orang lulus bagi subjek ini. Walaupun hanya seorang yang mendapat A dalam subjek bahasa Melayu dan bukan 'straight' A, namun saya masih bangga dengan kejayaan murid-murid saya.

Bagi manusia yang kerdil dan tiada pengalaman mengajar bahasa Melayu seperti saya yang memegang kelas peperiksaan, ianya sesuatu perasaan yang sangat menggembirakan dan bersyukur. Mungkin orang luar akan melihat keputusan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, namun saya tidak kisah sama sekali kerana saya lebih mengenali anak-anak didik saya. 

Mereka bukanlah daripada golongan orang yang senang. Hidup mereka serba kekurangan dan cara hidup mereka sendiri tidak melihat pendidikan sesuatu yang mampu mengubah masa depan mereka. Mereka masih dalam golongan yang keciciran dalam pendidikan. Walaupun terdapat pelbagai kekurangan dan halangan dalam mencapai kejayaan, mereka masih berusaha gigih untuk belajar dan SENTIASA RAJIN menghadiri kelas tambahan yang diadakan oleh guru-guru demi mendapatkan keputusan lulus dalam subjek yang dipelajari mereka.

Tidak dilupakan juga pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh para guru di sekolah bagi memantapkan pengetahuan murid-murid ini. Namun, kami cuma usaha selebihnya adalah hak Dia untuk menentukan sama ada perkara yang diajar itu diterima oleh anak didik mahupun tidak. Jika dipaksa untuk belajar, sudah pasti mereka langsung tidak akan datang ke sekolah lagi selepas ini. Maka hadirnya guru ke kawasan pedalaman bagi memberikan mereka kesedaran mengenai kepentingan ilmu kepada masa depan mereka dengan menggunakan pendekatan yang halus dan tegas.

Kerana inilah saya berpuas hati kerana segala penat lelah saya mengajar anak-anak ini sehingga tekak luka dan berdarah, tidak tidur malam memikirkan kaedah yang dapat memudahkan murid memahami pengajaran untuk keesokan harinya, sekaligus membuahkan hasil kerana kebiasaanya peperiksaan di sekolah tiada seorang pun murid yang lulus dalam keenam-enam subjek peperiksaan ini.

Mungkin pihak luar merendahkan kemampuan kami dalam pendidikan anak bangsa orang asli, namun hanya mereka yang mengajar dalam kawasan pedalaman sahaja tahu kesusahan yang terpaksa ditanggung bagi memberikan pendidikan yang sempurna kepada para pelajar di sini. Saya tidak kisah apa yang mereka perkatakan kerana segala usaha keras selama beberapa bulan dan tahun biarlah diri saya sahaja yang mengerti. 

Sekian dan wassalam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...