W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

June 20, 2018

GOLONGAN YANG TIDAK BOLEH DITEGUR


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Photo by Liza Summer from Pexels

Pada hari ini, saya ada buat teguran tentang pendekatan seseorang menegur individu lain. Saya telah menegur seseorang yang boleh dikatakan mempunyai ilmu sejarah sehingga ke peringkat phd. Saya menghormati ilmu yang disampaikan oleh beliau dan beliau memang arif dalam bidang yang disampaikan. Saya juga membaca dan menerima ilmu dalam bidang tersebut.

Cuma, saya kurang senang tentang cara teguran yang dilemparkan oleh beliau terhadap orang lain (pihak A). Bila saya tegur tentang cara teguran, ada peminat beliau terus melabel saya sebagai peminat individu satu lagi (pihak A) hingga menganggap saya tidak boleh menerima teguran yang dilemparkan kepada pihak pihak A. Saya juga dilabel sebagai apologetik oleh beliau sendiri.


Walhal realitinya saya membaca dan menerima pendapat drpd beliau berkenaan dengan isu tersebut kerana beliau mengkaji dalam bahagian tersebut. Jadi, saya menerima pandangan beliau dari aspek bidang ilmu kerana saya berpandangan beliau lebih arif. Cuma berlaku perbezaan pendapat dalam soal pendekatan dalam teguran.

Beliau mengatakan bahawa pihak A sengaja menyebarkan satu bentuk propaganda untuk membenci kerajaan masa kini kerana menaikkan posting berkaitan dengan kejatuhan raja di Indonesia. Beliau beranggapan pihak A cuba menyamakan keadaan tersebut dengan situasi dalam negara kita yang mana pada ketika itu sedang panas isu institusi raja diperkotak-katikkan olen pihak tertentu dan ingin menjadikan negara ini sebuah negara sekular. 

Ya, kenyataan beliau inilah yang menyebabkan saya menegur penulisan beliau berkenaan dengan pihak A. Saya menegur beliau adalah lebih baik menegur secara personal mengenai penulisan tersebut sekiranya penulisan yang ditulis oleh pihak A itu terdapat kesilapan dari aspek ilmu sejarah itu sendiri. Saya juga menegur kita tidak tahu niat disebalik sesuatu penulisan dan sebaiknya mendapatkan penjelasan daripada pihak A. 

Namun beliau bertegas dengan pendirian beliau bahawa jika penulisan itu ditulis secara umum maka perlu juga ditegur secara umum dalam status facebook beliau. Saya berasa pelik kerana bagi pendapat saya, jika dari segi bidang ilmu tu ada berlaku kesalahan, maka komen sahajalah secara spesifik dalam bahagian komen artikel tersebut. Bahagian komen sudah wujud, mengapa tak perbetulkan sahaja fakta sejarah secara terbuka dalam ruang komen bahawa beliau  tidak setuju dengan penulisan tersebut? Kalau tulis dekat status wall facebook sendiri, bolehkah pihak A memperbetulkan fakta sejarah mereka? 

Saya baca artikel yang ditulis oleh pihak A dan penulisan itu juga telah diterbitkan pada bulan Mac, iaitu beberapa bulan sebelum PRU. Cuma, pihak A menaikkan posting itu berkali-kali agar dibaca oleh ramai pihak. Dan kesan daripada tindakan tersebut, beliau berpendapat terdapat segelintir pembaca terpengaruh dengan penulisan pihak A hingga mewujudkan perasaan tidak suka kepada kerajaan sekarang. 

Sedangkan mengikut kefahaman saya selepas membaca artikel tersebut secara BERKALI-KALI, saya tidak jumpa satu ayat pun dalam penulisan tersebut yang ingin menyamakan keadaan indonesia dengan Malaysia. Bagaimana sebuah kumpulan boleh mewujudkan satu bentuk propaganda dalam bentuk penulisan sebelum berlakunya pertukaran kerajaan?

Bukankah itu menunjukkan bahawa pihak A sudah lama menyemai penulisan artikel untuk sayang akan raja-raja mereka terlebih dahulu dan bertungkus-lumus untuk menolak sebarang persepsi yang boleh menjatuhkan seseorang? Walaupun berlaku kesilapan dari kefahaman konteks keadaan sejarah itu sendiri dalam penulisan pihak A, namun menuduh pihak lain sebagai penyebar propaganda adalah sesuatu pertuduhan yang tidak berasas. 

Selepas saya pertikaikan tindakan beliau, saya terus dilabel sebagai apologetik kerana mempertahankan pihak A. Alasan kenyataan beliau, kerana pihak A dikatakan ‘menunggang’ isu tersebut dengan menaikkan semula artikel itu semasa hangat isu golongan yang ingin menjatuhkan YDPA dan sistem beraja dalam negara. Bagi pendapat peribadi saya, menaikkan artikel tersebut sebagai satu pengajaran untuk tidak mewujudkan sebarang pergelutan bagi memastikan kesejahteraan negara. Namun, adat manusia mempunyai corak pemikiran yang berbeza. Ataupun mungkin saya yang terlalu positif? 

Persoalan saya sekarang ini, adakah apabila seseorang tu berilmu sampai peringkat phd sekalipun, golongan bawahan yang mana ilmunya senipis kulit bawang seperti saya, tidak layak menegur cara teguran atau pendekatan dalam bab teguran individu lain terhadap individu lain? Actually, how did we see someone yang tinggi pengetahuan dalam sesuatu bidang tu? Seseorang yang maksum dan tiada cacat cela ke? Saya sentiasa melihat seseorang sebagai seorang manusia yang tidak lari daripada cacat cela.

Saya bukanlah individu yang terlalu mengagungkan seseorang dan saya juga melihat setiap manusia itu ada salah dan silap. Setiap manusia wajar ditegur jika sikap mereka itu kelihatan kurang enak, hatta orang yang mempunyai disiplin ilmu yang tinggi sekalipun. Sekarang ini, selepas saya membuat teguran, ramai juga sahabat handai dan peminat beliau yang memerli-merli teguran yang telah dilemparkan oleh saya. Disebabkan saya berasa malas nak berhujah dengan orang cerdik pandai, maka saya sendiri yang meminta maaf dan mengundur diri. 


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)