Menurut AFP Isu serangan kepada bayi dan kanak-kanak perempuan sudah sekian lama berleluasa tetapi kerajaan tidak serius menanganinya sekalipun mempunyai perundangan yang berat terhadap jenayah rogol. Rogol dianggap senjata peperangan dan amalan itu dilakukan dengan tanpa rasa bersalah dan diarahkan secara rahsia dalam arahan ketenteraan masing-masing.
Rogol bukan sahaja dilakukan kepada kanak-kanak kecil tetapi juga wanita dewasa tanpa mengira umur. Malah turut dilaporkan kes-kes lelaki dari semua peringkat usia turut diperkosa oleh lelaki dan wanita dengan niat mencetuskan gangguan emosi yang teruk selain dicederakan. Perkara yang sama turut dilakukan oleh pihak pemberontak yang membalas dendam kepada keluarga-keluarga pihak yang menyokong kerajaan.
Hasutan pemimpin dan kebencian yang dilancarkan melalui serangan perang dengan pembunuhan kejam termasuk merogol sampai mati adalah manifestasi kebencian melampau antara rakyat sama negara sama ‘hitam’ dan sama postur tubuh malah bahasa yang sama cuma berlainan etnik sahaja ini. Hanya etnik Twa yang turut berkongsi ciri yang sama kecuali tubuh badan yang lebih kecil.
Keganasan ini menyebabkan sebahagian besar rakyat dari kedua-dua etnik melarikan diri ke Congo dan menambah lagi parah kepada amalan perang melalui rogol di negara berkenaan. Sekalipun tentera Congo turut mengamalkan serangan melalui rogol untuk menimbulkan ketakutan dan kesan trauma melampau tetapi perkara ini lebih diburukkan oleh militan Hutu yang turut sama menyerang penduduk Congo dengan cara yang dikatakan lebih kejam dan tiada perikemanusiaan langsung.
Sekalipun perang secara rasmi tidak wujud apalagi dengan kehadiran pasukan pengaman dari Bangsa Bangsa Bersatu tetapi terdapat serangan berterusan antara puak dan pihak kerajaan sendiri. Semua serangan ganas ini tertumpu banyak di bahagian Timur Congo. Ini termasuk pertempuran sengit pada tahun 2007 antara tentera kerajaan Congo dan pemberontak Tutsis.
Antara sebab yang mencetuskan huru hara termasuklah perebutan tanah, sumber asli dan masalah ekonomi penduduk yang menjadikan emosi kebanyakan mereka menjadi terganggu dan bertindak di luar jangka. Selain kurang pemahaman terhadap hak-hak kemanusiaan. Rendahnya tahap pendidikan di negara berkenaan menyumbang kepada permasalahan sosial yang sentiasa memburuk.
Tahun 2009 juga menyaksikan 7500 kes dilaporkan berlaku di Kivu dan banyak lagi tidak dilaporkan kerana rakyat tidak yakin kerajaan akan mengambil tindakan. Dalam beberapa kes selepas rogol mangsa dibunuh kejam termasuk disiat-siat tubuh. Human Right Watch (HRW) mengatakan dalam serangan bulan mac 2013 lalu pembunuhan dan rogol berlaku besar-besaran di bandar Goma oleh pemberontak manakala pihak tentera Congo membalas sama di Minova dengan menyerang etnik mereka pula.
Keganasan secara seksual mampu memberi kesan yang teruk kepada mental mangsa(trauma). |
Dalam kebanyakan serangan wanita dirogol didepan bapa, suami dan anak-anak mereka dan mangsa-mangsa termasuk bayi-bayi kecil. Malah setiap aksi rogol dilakukan secara beramai-ramai dan berganti-ganti tanpa perasaan belas. Dalam satu insiden di Minova seorang warga emas berusia lebih 60an telah dirogol 3 lelaki. Dua dari depan dan seorang dari belakang di depan keluarganya. Beliau kini menghadapi trauma melampau dan lebih malang dibenci dan disindir suaminya sendiri yang mengatakan dia adalah isteri askar serta tidak mahu mendekatinya lagi (artikel berkaitan ada saya letak dalam komen).
Sebuah Kem Khas Pelarian mangsa rogol telah ditubuhkan dan diketuai serta dijaga oleh wanita kesemuanya kerana kebanyakan sangat trauma kepada lelaki disebabkan insiden rogol yang melampau. Sekalipun kerajaan menjamin untuk mengambil tindakan kepada tentera dan pegawai-pegawai kanan mereka yang terlibat sama tetapi penduduk terus skeptikal perkara ini akan berlaku. Pihak UN sendiri baru-baru ini mengugut kerajaan Congo untuk serius menghentikan serangan rogol kejam begini atau mereka akan keluar dari pasukan Pengaman.
Menurut pihak yang sama 23.6% lelaki di timur congo juga mengalami keganasan seks termasuk rogol. Dengan kajian yang sama didapati 1 daripada 4 lelaki telah mengalami keganasan seks dan merangkumi 10% daripada keseluruhan keganasan seks di Congo. Perogol-perogol kepada kaum lelaki kebanyakannya melibatkan wanita-wanita ganas dan dalam sebahagian kes lagi oleh lelaki sendiri.
Mangsa rogol lelaki juga menghadapi trauma dan digelar ‘Bush Wives’. Mereka memerlukan rawatan yang berbeza daripada mangsa wanita kerana tekanan yang tidak sama. Dalam seluruh kejadian keganasan seks 65% terjadi kepada kanak-kanak perempuan dan 10% daripadanya di bawah usia 10 tahun. Salah satu yang menjadi punca kepada kejadian ini adalah pemerdagangan manusia untuk tujuan pelacuran dan buruh paksa. Banyak kanak-kanak perempuan dipaksa menjadi pelacur di kem-kem pelarian, pasar-pasar, lombong-lombong dan pondok-pondok termasuk khemah yang didirikan khas untuk tujuan berkenaan.
Pesalah pula kebanyakan adalah tentera dan militan. Namun terdapat juga banyak kes dilakukan oleh penculik-penculik untuk tujuan pemerdagangan manusia selain turut dilaporkan juga dilakukan oleh polis, orang awam dan penjenayah yang mengambil kesempatan dengan merogol mangsa yang telah dirogol. Dikatakan 54% daripada perogol adalah tentera FARDC (akronim dalam Bahasa Perancis untuk Tentera Congo) mengikut kajian tahun 2007 oleh UN.
Tentera pula bertindak merompak dan merogol sebagai melempiaskan kekecewaan kepada kekalahan dalam pertempuran berkenaan. Mereka merogol kerana marah dan benci satu perlakuan yang sangat tidak masuk akal. Tetapi ada juga kes seperti seorang askar berusia 22 tahun yang ditangkap setelah memperkosa 53 wanita (artikel ada diberi di Komen) Beliau berkata diberi arahan boleh buat apasaja bila melihat wanita. Malah Ketua mereka memberi arahan khas dalam taklimat sebelum serangan untuk merogol sekurang-kurangnya 10 wanita. Beliau telah merogol termasuk kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun.
Tindakan askar-askar Congo tidak mencerminkan sikap pegawai kerajaan sewajarnya dan sikap mereka ini menjadikan negara mereka terus jauh dari rahmat dan kebahagiaan. Satu resolusi keselamatan dari PBB (UN) artikel 1888 yang berkaitan dengan usaha kearah menjaga kebajikan wanita dari serangan seks di negara-negara berperang tetapi tidak banyak usaha dilakukan oleh kerajaan Congo dalam hal ini. Namun barubaru ini setelah diberi tekanan lebih serius oleh PBB kerajaan Congo mula menguatkuasakan usaha kearah mempastikan tindakan lebih berkemanusiaan dilakukan oleh askar-askar negara mereka sendiri dan berjanji menyiasat semua insiden keganasan seks yang dilaporkan. Ini yang akhirnya membawa penahanan 12 pegawai kanan tentera berkenaan.
Satu peristiwa tragis yang dilalui Masikka Katsuva ialah apabila rumahnya diserang oleh pemberontak. Suaminya dibunuh dan dikerat-kerat dan beliau dipaksa makan kemaluan suaminya. Anak-anak gadisnya berusia 14 dan 15 tahun dirogol beramai-ramai sehingga keduanya mengandung dan melahirkan anak. Keluarga suaminya membencinya kerana mereka dirogol walaupun bukan salah mereka.
Dia membawa kedua-dua anaknya dan ‘cucu’ ke tempat lain dan mulakan hidup baru. Semangat kuat beliau menjadikan beliau dilantik sebagai ‘mother figure’ dan banyak membantu mangsa keganasan seks dengan memberi bantuan psikologi dan perubatan kepada mangsa-mangsa di kem pelarian wanita mangsa keganasan seks.
Memang agak malang negara-negara barat yang sering campur tangan dengan urusan negara-negara lain kononnya atas faktor keselamatan dan kebajikan tetapi bersikap selektif dalam beberapa isu lain. Amerika, Russia, Britain dan semua negara maju lain tidak serius dalam menangani isu ini di Congo. Jika di negara lain seperti di Iraq dan Libya mereka cepat mengambil keputusan dan bertindak tetapi kenapa tidak turut sama menyerang pihak yang menimbulkan keganasan di Congo.
Jika keganasan berlaku kepada orang-orang kulit putih mereka akan cepat menyelar bangsa dan agama tertentu sebagai pengganas. Mereka juga mudah mencampuri mana-mana negara dalam konflik dalaman mereka atas nama pencegahan terhadap keganasan. Agak ironi sikap ini tidak ditunjukkan dalam isu di Congo ini
Pada masa yang sama kita semua wajar menjadikan apa saja yang terjadi di negara-negara lain sebagai pengajaran berguna. Dalam apa jua situasi kita mesti tidak hilang pertimbangan dan mendahului nilai-nilai agama dan kemanusiaan sejagat dalam tindak tanduk agar tidak melakukan kekejaman dan menganiaya orang lain. Setiap kebaikan yang kita lakukan adalah sedekah dan akan dibalas dengan kebaikan. Setiap kejahatan akan pasti berbalik kepada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)
Jangan lupa LIKE! dan SHARE!
Terima kasih :)