Assalamualaikum dan selamat sejahtera..
Dengan ini penulisanku dimulai dengan kalimah bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, aku bersyukur kerana diberi kesempatan daripada Illahi untuk menulis semula dalam laman ini. Jika dahulu aku mempunyai blog laman ini, kemudian dibuangnya jauh-jauh - khuatir jika setiap kata-kata dalam penulisanku menggamit semula memori yang ingin dibuang.
Penulisan ini bukan keluhan, cuma satu luahan yang aku rasa kadang-kala ketidakadilan sentiasa berlaku dalam hidup kita. Namun, jika difikir semula, kita hanyalah hamba-Nya, jika tidak puas hati atau terasa hati bagaimana sekalipun, hidup perlu diteruskan. Suka atau tidak, senyum, senyum tanda kita kuat dan masih mempunyai kekuatan untuk mengharunginya.
Orang selalu kata, atau penulisan-penulisan dalam keagamaan sentiasa menasihati kita untuk sentiasa bersabar dan hamba-Nya yang sentiasa diuji oleh-Nya menandakan Dia iaitu Sang Pencipta sentiasa mencintai diri hamba-Nya dan merindui rintihan hamba-Nya. Ya, jika difikir balik, kita perlu rasa bersyukur kerana diberi nikmat untuk merasai susah kerana ketika susahlah manusia paling banyak menghadap dan mencari-Nya, kan?
Secara jujur sebagai hamba yang lemah, yang terlalu lemah, aku penat, terlalu penat ya Allah. Terlalu penat menahan sakit dan penat menahan diri untuk sentiasa bersabar. TERLALU PENAT. Jika aku terasa marah, aku pendamkan rasa marah dan menangis keseorangan. Aku tak mampu luahkan, kerana aku tahu marah itu perkara yang tidak baik.
Ya Allah, aku terlalu sedih, kecewa dan marah dengan sikap manusia. Aku marah dengan perlakuan mereka, kecewa dengan layanan mereka terhadap diriku, dan aku sedih kerana sikap dan kata-kata yang mereka lontarkan kepadaku. Sebak hati menahan pilu, terlalu sebak. Terasa diriku dan jiwaku dirobek-robek hingga hilang jantung, umpama daging dalam diriku dimamah dengan begitu kejam. Ya, KEJAM.
Sebagai seorang rakan, aku cuba mengawal marah dan mengawal kata bicaraku agar tidak membuat mana-mana antara mereka terasa hati denganku. Aku cuba menjaga hati dan seboleh-bolehnya hendak berlaku adil kepada semua. Namun, walau baik manapun aku memberi layanan baik kepada mereka, bukan semuanya mampu menjaga hatiku - kerana mereka hanya manusia yang lemah.
Ya Allah, aku tahu mereka hanya manusia yang lemah. Tapi secara jujur, aku sakit bila tidak diendahkan.Sakit apabila tidak wujud di pandangan mata mereka. Sakit apabila aku bukan seseorang yang berada di dalam hati mereka. Sakit apabila aku dilupai oleh mereka. Ya, sakit, terlalu sakit. Ya Allah, aku sakit kerana aku mencintai mereka dan aku sanggup merasa susah dan perit demi mereka, mereka yang aku sayang.
Namun, aku tahu, atas kehendak-Mu, mereka tidak mencintaiku. Mereka melupakan aku juga kerana Engkau mengkehendaki keadaan tersebut sebegitu rupa. Mengapa ya Allah? Adakah aku tidak layak untuk merasai untuk dicintai? Adakah aku tidak layak untuk merasai erti rasa hormat? Mengapa? adakah kerana kekurangan diriku yang menjadikan keadaan diriku begini?
Ya Allah, aku masih berjalan dengan senyuman yang palsu menemaniku kerana-Mu, ya Allah. Aku tiada alasan untuk mengalah, kerana aku manusia yang sempurna dari segi fizikal dan akalnya. Jika manusia yang tidak sempurna fizikal atau akalnya pun tidak kenal erti mengalah, jadi mengapa aku perlu jadi begitu? Aku ada pilihan yang Allah beri, sama ada berputus asa atau terus mara ke hadapan. Jika hendak merasai hidup dalam kegelapan, teruskan berputus asa.
Namun, aku tahu, bagi segala kesakitan yang dihadapi, mara ke hadapan adalah solusi yang paling nyata kerana hidup perlu diteruskan. Aku juga diberi peluang untuk terus merasa sakit mahupun memilih untuk senyum dan bergembira walaupun masih terasa sakit. Ya, perlu memilih senyuman kerana jika pilihan berlandaskan kesedihan, sebarang perkara positif akan dibutakan oleh pemikiran negatif.
Jadi, beginilah caranya hidup sebagai seorang muslim. Teruskan bersabar dan berfikiran positif. Setiap yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Teruskan perjalanan dalam hidup yang hanya sementara kerana kita adalah hamba-Nya dan khalifah-Nya. Inilah perjuangan menuju ke akhirat. InsyaAllah, setiap kesakitan akan diakhiri dengan kesenangan.