W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

September 20, 2021

PERJALANAN MENCINTAI DIRI SENDIRI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Photo by Pavel Danilyuk from Pexels

Dalam beberapa hari ini, saya telah berada dalam satu fasa yang agak menyerabutkan, iaitu berkaitan dengan emosi dalam diri. Saya tidak pasti mengapa, tetapi emosi negatif mula menyelubungi hidup saya dan saya juga mula membandingkan kehidupan saya dengan orang lain.

Apabila menyentuh mengenai emosi negatif ini, harap kalian tidak salah faham, ianya tiada kaitan dengan sifat cemburu saya terhadap orang lain, sebaliknya ianya emosi negatif saya yang terlalu menyalahkan diri sendiri for not being a productive and a talented person. 

Saya suka melihat kehidupan orang lain di dalam facebook dan juga instagram. Dan saya sangat suka memerhatikan betapa produktif rakan-rakan saya mengisi kehidupan mereka bersama keluarga dengan aktiviti yang berfaedah. Selain itu, saya juga sangat suka apabila mereka menunjukkan kemahiran atau skill mereka seperti memasak, menghias rumah dan sebagainya dalam ruangan sosial media.


Namun dalam suka itu, ada juga terselit duka dalam hati saya. Saya merasakan saya tidak mampu jadi seproduktif seperti mereka dan saya juga tidak mempunyai apa-apa kemahiran pun untuk dibanggakan mahupun ditonjolkan kepada sesiapa. Saya merasakan diri saya agak ‘loser’, tidak pandai serba-serbi dan terlalu banyak kelemahan.

Apabila melihat rakan-rakan yang pandai memasak mempamerkan skill masakan mereka dan menu yang dimasak oleh mereka dalam media sosial, saya merasa diri ini sangat kecil kerana tidak sehebat mereka dalam kemahiran memasak. Saya hanya mampu memasak masakan yang ringkas sahaja di rumah. Itu pun saya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke dapur dek kerana kehamilan serta kesihatan yang tidak mengizinkan.

Secara jujur daripada hati, sedikit pun saya tidak cemburu mahupun marah dengan rakan-rakan saya. Bagi saya, mereka hanya berkongsikan kehidupan mereka. Mereka tidak melakukan apa-apa pun kesalahan, sebaliknya sayalah yang perlu tackle kekurangan saya dan memperbaiki kekurangan diri saya. 

Emosi negatif yang ada dalam diri ini, rasa kurang yakin terhadap diri sendiri itu adalah masalah peribadi saya, maka ianya tiada kaitan pun dengan orang lain sebaliknya sayalah yang perlu bertanggungjawab ke atas emosi saya sendiri.

Oleh kerana saya mengalami breakdown yang agak teruk, saya mula memulakan sesi pillow talk dengan suami mengenai perasaan negatif yang dialami oleh saya. Encik suami mendengar dengan tekun dan tidak mencelah sedikit pun sepanjang saya meluahkan perasaan negatif yang terbuku di hati sambil menangis teresak-esak.

Kemudian, apabila saya sudah habis berbicara, suami mula membuka mulutnya;

“Kenapa awak selalu menghukum diri sendiri? Kenapa awak selalu fokus kekurangan diri awak sedangkan awak mempunyai banyak kelebihan lain? Awak tidak perlu jadi seperti orang lain, dan awak ada cara tersendiri.”

“Sepanjang abang berkahwin dengan awak, awak sangat pandai dalam pengurusan kewangan. Dalam usia awak 30 tahun, awak sudah mempunyai aset kereta, rumah dan simpanan yang banyak. Senang cerita kehidupan awak stabil dan tidak perlu pun fikir tentang masalah kewangan. Awak berdikari dan menguruskan segalanya sendiri.”

“Awak mampu membeli barang yang awak suka dan dalam masa yang sama awak juga mampu membahagikan sedikit kewangan awak itu untuk orang lain seperti ibu bapa dan sedekahkan sedikit kepada orang lain. Awak tidak pernah kedekut dan berkira apabila melibatkan soal duit.”

“Awak ingat tak, semasa abang kena kuarantin disebabkan ada kes covid dekat tempat kerja, ketika itu abang memang tengah sesak duit. Awak hulurkan duit awak kepada abang dan terus suruh abang buat ujian covid dekat hospital swasta. Kalau bukan sebab awak, mungkin abang kena kuarantin lebih kurang dua minggu tapi lepas semua ujian itu negatif abang tak perlu pun kuarantin lama-lama.”

“Lepas tu, mungkin bagi awak perkara ini kecil tapi kemahiran awak dalam IT memberi impak yang besar dalam kehidupan abang. Abang cakap jujur, bab komputer ke telefon ke, memang abang noob gila dan tidak tahu apa-apa sangat. Awak la yang banyak tolong abang setting itu itu ini. Abang punya Ativa tu, jujur cakap, kalau awak tak ajar, memang abang tak akan guna pun segala aplikasi dalam sistem kereta tu.” 

“Hari tu, abang ada meeting dan dalam meeting tu abang kena guna google meet. Abang ingat nak guna laa aplikasi dalam kereta tu tapi abang tak tahu. Ketika itu, ada kawan dekat sebelah. Abang  cakap terus terang dan sebut pasal awak dekat kawan tu, “Sorry la bro, aku tak reti sangat benda ICT macam ni. Biasanya isteri aku yang tolong setting dan buatkan untuk aku.” Kawan abang tu ketawa tapi abang rasa bangga sebab isteri abang hebat dalam ICT ini.”

“Lepas tu, anak kita Aishah petah bercakap. Awak tak bangga ke dengan Aishah? Tok Pah dan orang lain puji Aishah sebab Aishah tidak pelat pun ketika bercakap sekarang ni. Abang dua tahun jauh daripada awak dan Aishah. Aishah banyak masa dengan awak ketika kita PJJ itu.”

“Kalau abang kata Aishah pandai bercakap itu pun adalah usaha awak yang dari awal banyak bercakap dan menyanyi dengan anak, awak akan kata ianya bukan usaha awak seorang dan ahli keluarga yang lain pun banyak membantu dan bercakap dengan Aishah. Tapi tak boleh ke awak letak kredit tu pada diri awak juga? Kenapa perlu sentiasa nak merasakan usaha awak itu kecil?”

“Awak selalu cakap diri awak tak cantik, tak pandai bergaya dan tidak pandai pun bersolek. Bagi abang, awak sudah cukup cantik pada mata abang. Awak pergi sekolah, bersolek cara ringkas pun, bagi abang sudah cantik sangat. Kulit awak pun cantik.”

“Awak ada kening yang cantik, tak perlu lukis pun sudah semula jadi cantik. Baju Minimalace yang awak beli semua cantik-cantik di dalam almari tu. Kalau orang lain kata awak tak cantik, biarkan mereka. Tak cukup ke awak cantik di mata abang ? Cukuplah awak cantik untuk tatapan abang seorang sahaja.” 

“Abang nak senaraikan banyak-banyak pun, abang sendiri tengah mengantuk sekarang ini. Abang tak boleh nak fikir lagi kelebihan awak yang lain. Nanti ada masa, kita list sama-sama kelebihan awak yang awak susah nak nampak tu. Cuma buat masa ini, abang minta tolong sangat, lepas ini janganlah pandang rendah dan terlalu menghukum diri awak. Awak selalu berlaku tidak adil kepada diri sendiri.”

“Cuba sayang diri awak, hargai diri awak. Kita ni manusia, semua ada kelemahan. Tapi dalam kelemahan itu pun ada kelebihan. Janganlah awak terlalu fokus kepada kekurangan awak, cuba lepas ini awak duduk dan senaraikan pula kelebihan yang ada pada diri awak.”

Kata-kata suami saya ini sangat masuk ke dalam hati. Kata-kata encik suami pada malam semalam banyak membuka mata saya tentang kelebihan yang diri sendiri yang saya tidak nampak. Bila saya fikirkan semula, betul apa yang diperkatakan oleh suami iaitu saya terlalu suka menghukum diri. Saya terlalu fokus kepada kelemahan saya dan akhirnya ianya memakan diri sendiri. 

Saya menulis semula kata-kata encik suami supaya saya boleh baca dan ingat pesanannya setiap kali saya rasa down sangat. Tidak salah juga jika kita melihat kekurangan diri, kerana dengan melihat kekurangan itu kita akan belajar untuk memperbaiki kekurangan diri. Kita pun selalu berdoa supaya diri kita pada hari ini menjadi lebih baik daripada semalam. 

Cuma jika kita terlalu FOKUS untuk melihat kekurangan diri sehingga tidak menghargai kelebihan yang ada pada diri, ianya akan menyebabkan diri kita mudah rosak dan hancur seperti racun yang memakan keyakinan diri serta kesihatan mental secara perlahan-lahan. Mungkin sudah tiba masanya saya menulis journal tentang perjalanan hidup dan fokus tentang perkembangan diri terutamanya berkaitan dengan mencitai diri sendiri. 

Sekian sahaja penulisan saya pada hari ini. Terima kasih kerana sudi membaca.




No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)