Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pernah atau tidak anda mengalami masalah kucing sering berak atau kencing di rumah anda? Jika ya, maka kita boleh jadi geng. Jadi disebabkan masalah ini, saya mencari dan menggunakan produk viral iaitu Daiso Cat Repellent ini dalam tempoh beberapa bulan.
Saya mula berpindah di sebuah kawasan perumahan pada tahun lepas iaitu pada bulan September. Sepanjang 3 bulan saya tinggal di situ, saya tidak mengalami masalah ini. Sehinggalah awal tahun ini saya mendapati najis kucing sering ada di hadapan rumah saya, kadang-kala di bawah kereta. Dan yang paling sakit hati adalah apabila kucing kencing di dalam kasut.
Pada awalnya, saya beranggapan mungkin ini berpunca daripada kucing liar atau kucing yang tidak mempunyai tuan. Sehinggalah suatu hari saya ternampak kucing tersebut memakai loceng di tengkuknya. Apabila berada di dalam situasi, dalam kepala saya terdetik untuk mengetahui tuan kucing tersebut.
Persoalan di hati saya itu akhirnya terjawab apabila suatu hari selepas keluar berjalan-jalan menaiki kereta meronda kawasan perumahan. Setelah keluar daripada kereta, anak saya ternampak seekor kucing yang selalu datang dan tidur di rumah saya. Anak saya mendekati kucing tersebut kerana mahu bermain dengannya.
Sehinggalah terdapat satu suara yang menegur saya dan anak. Suara tersebut dimiliki oleh seorang wanita muda yang tinggal dalam beberapa buah daripada rumah sewa saya.
"Anak akak suka main kucing ke?" tanya dia kepada saya.
"Haah anak saya suka main kucing." Saya senyum sambil terdetik dialah rupanya pemilik kucing tersebut.
"Kalau kucing saya ada berak atau kencing di rumah akak, saya minta maaf ye." Saya berasa janggal dan pelik kerana tiba-tiba dia meminta maaf kepada saya.
"Maaf ye, apa maksud awak ye?" Lalu saya pun bertanyakan satu soalan semula kepadanya untuk memahamkan situasi yang telah berlaku. Sebelum ini memang terdapat satu perangkap besar di hadapan rumah kami. Namun perangkap besar itu bukanlah milik saya dan suami. Sampai sekarang saya dan suami tidak tahu siapa yang meletakkan perangkap besar itu.
"Owh macam ni. Kadang-kala kucing saya ni selalu pergi rumah jiran. Saya tidak boleh nak buat apa sebab ianya berlaku tanpa pengetahuan saya. Ada setengah jiran tak suka kucing datang ke rumah mereka. Saya minta maaf awal-awal kepada akak la jika kucing saya ada buat hal." Jelas wanita muda itu panjang lebar.
Pendapat peribadi saya tentang isu ini?
Secara jujur, saya memang ada rasa tidak puas hati dalam isu ini. Walaupun dia telah minta maaf, namun apabila kita membela seekor kucing atau beberapa ekor kucing sekalipun, kucing tersebut masih di bawah tanggungjawab penyeliaan kita.
Kucing ini bukanlah seperti seorang manusia yang mempunyai akal. Kalau ditegur pun, bukan kucing itu faham arahan kita. Jadi, bagi saya sebaiknya jika dia tidak mampu mengawal pergerakan kucing tersebut, maka jagalah kucing tersebut dengan membeli sebuah sangkar yang besar.
Janganlah menzalimi jiran tetangga yang lain hanya kerana seekor atau beberapa ekor kucing yang dibela oleh kita. Kucing itu tidak bersalah, yang silap itu adalah tuan kepada kucing tersebut. Jangan disebabkan minat kita, kita menzalimi jiran tetangga yang lain. Dalam agama pun sudah menggariskan adab dalam berjiran.
Jadi bagaimana saya tackle masalah ini?
Disebabkan saya malas nak mencari gaduh mencipta musuh, saya berdoa pada Allah untuk memudahkan urusan saya dalam menangani isu kucing yang sering berak dan kencing di rumah saya. Saya rasa penat sangat nak bersihkan najis kucing kerana saya sedang mengandung.
Tambahan lagi, rumah yang disewa oleh kami itu tidak mempunyai pili air di luar rumah. Jika saya mahu membersihkan najis kucing tersebut, saya perlu mengangkat baldi dari bilik air di dapur. Satu hal pula nak mengangkat baldi yang berisi air.
Lepas beberapa hari berdoa, Allah makbulkan doa saya dengan begitu cepat sekali. Betul kata orang, doa orang yang teraniayai ni mudah didengar dan diperkenankan oleh Allah. Nak dijadikan cerita suatu hari saya mencari barang di dalam Shoppe. Tiba-tiba keluar satu produk di Daiso yang ada gambar kucing.
|
Korang boleh beli dekat Shoppe kalau susah nak keluar rumah. |
Saya nak tahu keberkesanan produk tersebut, maka saya pun mencari persoalan-persoalan dalam group deko rumah di dalam Facebook. Rupanya, masalah yang dihadapi oleh saya ini turut dirasai dan dialami oleh orang lain. Jiran bela kucing dan kucing jiran kerap berak di rumah mereka. Jadi, antara solusi yang diberikan dalam ruang komen adalah mereka menyarankan membeli produk ini dari Shoppe.
Maka saya pun terus membeli sebungkus terlebih dahulu untuk mencuba keberkesanan produk ini. Nanti beli banyak-banyak tapi menjadi dekat kucing kawasan rumah saya, rasa rugi pula. Jadi, saya beli dahulu satu bungkus. Selepas beberapa hari, sampailah barang yang saya tertunggu-tunggu.
|
Jeng jeng jeng. Dah sampai.
|
Saya pun cuba menggunakan produk ini. Pertama kali saya dan suami membuka bekas plastik itu, kami mengucap panjang. Bau dia, Ya Rabbi tidak terungkap dengan kata-kata. Nak kata busuk, pun tak wangi pun tak. Tapi yang pasti baunya sangat kurang menyenangkan. Jadi, kami pun cepat-cepat meletakkan ubat repellent ni di sekitar rumah dalam jarak 1 meter antara satu sama lain.
Adakah produk ini berkesan?
Saya menggunakan produk ini selama lebih dari 3 bulan. Terus terang cakap, memang puas hati GILA. Dah lebih tiga hingga lima bulan kucing tidak meninggalkan 'hadiah' di rumah kami. Alhamdulillah, sekarang ini memang tiada langsung najis kucing mahupun bau kencing kucing di hadapan rumah.
Walaupun kucing masih datang dan tidur di hadapan rumah dan di atas kereta, mereka tidak meninggalkan najis kali ini. Memang seronok sangat sebab perkara yang memenatkan saya sebelum ini dapat diatasi dengan cara yang baik.
Jadi, kalau anda mempunyai masalah seperti saya dan tidak mahu bergaduh dengan jiran sebelah hanya sebab najis kucing, bolehlah cuba beli ubat cat repellent ini. InsyaAllah tidak akan rugi. Semoga Allah permudahkan urusan anda.
Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini. Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)
Jangan lupa LIKE! dan SHARE!
Terima kasih :)