W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

December 14, 2020

TIPS MENGELAKKAN KESILAPAN KETIKA MEMBELI BAJU SECARA ONLINE

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Photo by Anna Shvets from Pexels

Okay guys, hari ini saya ingin berkongsi mengenai cara-cara atau tips mengukur pakaian jika anda mahu membeli pakaian secara online. Antara faktor yang mendorong saya untuk menulis artikel ini adalah apabila saya melihat dan membaca komen-komen di dalam group menjual pakaian preloved di Facebook kerana tersilap saiz atau tersalah beli.

Kebanyakkan daripada mereka hanya mengagak dan beranggapan saiz pakaian yang dikemukakan setiap butik mahupun kedai pakaian adalah sama. Maka hari ini saya mahu berkongsi tips yang boleh membantu anda membeli pakaian secara online tanpa merugikan tuan badan sendiri.


#1 - WAJIB ADA PITA PENGUKUR.

Okay, jika hendak selamat duit dalam dompet, akaun bank mahupun tabung, pastikan anda mempunyai peta pengukur. Wajib dah bagi saya ada pita pengukur ni jika anda betul-betul tekad mahu membeli pakaian secara online. Dulu saya juga malas mahu mengukur pakaian dan cuma mengagak saiz yang ditawarkan oleh penjual. 

Namun, selepas beberapa kali kecewa dengan hasil pembelian dan asyik tersalah saiz, maka saya membuat keputusan untuk menjadi lebih teliti dan cerewet dalam soal memilih pakaian yang dibeli secara online dengan membeli pita pengukur pakaian sendiri. Inga, kita perlu berkorban sedikit untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam hidup. Jadi, anda berkorban sikit duit beli pita pengukur. Harga pun murah je.


#2 - UKUR DAN KETAHUI UKURAN BADAN ANDA TERLEBIH DAHULU

Apabila melibatkan shopping online, anda akan mengalami kesukaran untuk memilih pakaian kerana anda tidak mengetahui saiz badan anda. Risau juga jika membeli baju terlalu besar atau terlalu kecil. Oleh itu, anda perlulah mengetahui saiz badan anda sebelum membeli pakaian secara online. 

Ukuran badan hendaklah betul-betul tepat. Misalnya jika anda mahu mengukur bahagian pinggul, anda perlulah mengambil ukuran pada bahagian yang paling lebar dan terbesar bagi mendapatkan ukuran yang paling tepat agar bahagian pinggul nanti tidak sendat apabila memakai pakaian itu.

Oleh itu, antara bahagian yang anda perlu ukur sebelum membuat pembelian secara atas talian adalah seperti berikut :
  1. Dada 
  2. Pinggul
  3. Bahu
  4. Pinggang
  5. Labuh baju / labuh seluar.
  6. Inseam (untuk seluar)
Okay, bagi memudahkan kalian untuk memahami cara mengukur pakaian dengan mudah, saya akan sertakan video tentang cara-cara untuk mengukur dan tahu ukuran badan anda supaya memudahkan kalian membeli baju secara online nanti.



NOTA KAKI : Jika anda suka membeli pakaian yang tidak terlalu longgar dan tidak terlalu ketat, anda perlu memilih saiz pakaian yang longgar 2 inchi pada bahagian pinggul dan dada daripada ukuran asal badan anda. Sebagai contoh, sekiranya ukuran dada anda 36inchi, pinggul 38inchi serta ukuran bahu 15, maka anda perlu memilih pakaian yang mempunyai saiz dada 38 inchi, pinggul 40 inchi. 


#3 - SEMAK MEASUREMENT CHART DENGAN TELITI


Okay, ini satu tips yang saya kongsikan kepada kalian dan ianya sangat-sangat penting. Kalau kalian nak tahu, bukan semua butik menyediakan carta ukuran pakaian atau measurement chart  yang sama. TIDAK SEMUA kedai yang menjual pakaian mempunyai saiz pakaian yang sama. Sebab itu saya tekankan penting untuk mengetahui dan mengukur saiz badan anda sebelum membeli pakaian. Misalnya, measurement chart Kedai A tidak akan sama dengan measurement Kedai Baju B.


Sebagai contoh, saya biasanya membeli pakaian daripada Minimalace iaitu Kyra Kurung. Biasanya saya akan memilih Saiz M untuk pakaian daripada butik itu. Namun, jika saya mahu membeli pakaian daripada butik Minaz, saya perlu memilih saiz L. Manakala jika saya mahu membeli pakaian daripada butik MCC, saya perlu memilih saiz S kerana pakaian saiz M daripada butik itu terlalu besar.

Anda nampak ke tidak perbezaan ketara antara ketiga-tiga butik itu? Penting sangat untuk kalian mengetahui hal ini. Setiap kali mahu membeli secara online, kalian perlulah menyemak ukur dan baca measurement chart yang telah diberikan oleh penjual secara teliti. Jika kesalahan membeli pakaian itu adalah daripada pihak anda yang salah mengukur, mereka TIDAK akan mengembalikan duit anda semula. Anda sudah rugi duit dekat situ.


#4 - BACA REVIEW PEMBELI/PELANGGAN LAIN SEBELUM MEMBUAT PEMBELIAN

Untuk pengetahuan kalian, membaca review pembeli atau pelanggan lain pun adalah sangat penting dalam membuat pembelian. Misalnya, jika kalian sudah biasa membuat urusan jual beli di Shoppee, biasanya kita akan ternampak komen-komen atau review pelanggan di bawah gambar barang yang dijual. 

Saya biasanya akan membuat pembacaan terlebih dahulu reviews daripada pembeli barang tersebut sebelum membuat pembelian. Hal ini kerana berdasarkan customer review pembeli sebelum ini, saya akan mendapat input-input mengenai produk yang ingin dibeli, dari aspek warna pakaian, material mahupun saiz pakaian tersebut. 

Sebagai contoh, daripada review pembeli kita boleh mengetahui saiz pakaian sama ada pakaian tersebut lebih besar ataupun lebih kecil daripada jenama pakaian lain. Jadi, berdasarkan input-input pengalaman pembeli sebelum ini, anda akan dapat membuat keputusan sama ada mahu membeli saiz yang lebih kecil atau lebih besar sebelum membuat pembelian. 


#5 - MELETAKKAN SIFAR JANGKAAN TERHADAP PRODUK YANG DIBELI

Apabila anda membeli pakaian secara atas talian atau online, anda akan mendapati warna pakaian yang sampai di tangan ada dengan warna yang ditunjukkan dalam gambar adalah berlainan atau lari sedikit daripada tona warna yang anda mahukan. 

Perkara ini sering terjadi dan cara mengatasinya adalah dengan tidak meletakkan jangkaan atau expectation terhadap warna pakaian yang anda beli. Biasanya gambar barang yang dipamerkan secara online tidak akan sama 100%, sebaliknya hanya akan sama dalam 80% hingga 90% sahaja atas faktor pencahayaan.
 
Namun, jika anda membeli baju berwarna hitam tetapi yang sampai di tangan anda pula berwarna merah, maka anda perlu membuat pemulangan semula barang yang dibeli kerana ianya adalah kesalahan daripada pihak penjual yang telah salah menghantar barang kepada anda. 


#6 - AMBIL TAHU  TENTANG RETURN POLICIES / POLISI PEMULANGAN DARIPADA PENJUAL 

Realiti hidup kita sekuat dan sebagus mana pun kita merancang dan buat yang terbaik untuk mengelak daripada melakukan kesilapan, kadang-kala bukan semuanya akan jadi seperti mana yang telah kita rancang.

Kesilapan pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan ketika membeli secara online, tidak kiralah kesilapan itu adalah dari pihak pembeli mahupun penjual. Nama pun manusia kan, sifat manusia itu banyak kekhilafan dan akan melakukan kesilapan. Its our nature as human.

Jadi, sebelum perkara itu berlaku, anda perlulah terlebih dahulu mengetahui dan memahami polisi pemulangan barang atau pakaian yang dibeli daripada butik mahupun kedai tersebut. Anda juga perlu mengetahui dan memahami tempoh masa pemulangan barang yang telah ditetapkan dalam polisi berkenaan. 

Apabila anda telah memulangkan barang atau pakaian yang dibeli, anda juga perlulah memahami polisi sama ada penjual akan memulangkan semula duit (refund) atau menukar pakaian dengan pakaian lain yang mempunyai harga yang sama. 

Ada sesetengah kedai atau butik online menulis polisi pemulangan yang sangat panjang dan sudah tentu anda tidak mampu untuk membaca dan meneliti setiap satu daripada mereka. Walau bagaimanapun, anda perlulah menyemak dan meneliti frasa-frasa yang berkait dengan anda. 

Sebolehnya, baca sebanyak mungkin polisi pemulangan daripada butik online yang berbeza dan pilihlah butik atau kedai online yang paling 'mesra' dengan anda sebagai pelanggan. Sesetengah daripada butik atau kedai online mempunyai polisi pemulangan secara percuma atau memberikan kupon pemotongan atau diskaun harga pakaian jika kesilapan itu adalah daripada pihak mereka. 

Selain itu, seboleh-bolehnya anda perlu mengelakkan diri daripada membeli daripada butik atau kedai yang mengambil masa selama beberapa bulan untuk memulangkan atau menggantikan barang atau pakaian anda selepas anda memulangkan barangan tersebut. Untuk mengelakkan daripada perkara ini, sebolehnya anda perlulah membaca customer review sama ada butik, kedai mahupun syarikat tersebut berpegang dengan polisi pemulangan barangan mereka. 

*  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *

Itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Saya berharap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu kalian untuk membeli pakaian secara atas talian dengan lebih selamat. Saya doakan semoga urusan anda dipermudahkan dan dapat membeli pakaian yang anda sentiasa inginkan. 

Sekian dan wassalam.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)