Assalamualaikum dan salam sejahtera.
|
Sumber : weheartit.com |
Saat Allah menghadirkan dia dalam hidup ini, saya terpaku kerana tidak mengenali dirinya. Tidak sangka dalam masa yang agak singkat kami telah mengikat tali pertunangan. Selepas kami telah mengikat tali perkahwinan dan membina rumah tangga, saya merasakan banyak keserasian antara kami. Banyak perkara yang dikongsi bersama, ketawa bersama dan mengeluh serta tangis bersama.
Dalam masa saling mengenal hati budi, tidak sangka hati mula berputik. Siapa sangka, hati ini berputik kepada insan yang saya tidak kenal tidak sampai setahun. Apabila mengenang kembali detik perkenalan kami yang kekok dan tidak banyak berbicara antara satu sama lain, saya ketawa sendirian. Siapa sangka wanita seperti saya ini telah tertulis dalam suratan takdir untuk berkahwin dengan pilihan keluarga sendiri.
Namun, itulah namanya sebagai percaturan Allah yang mengatasi segalanya.
Kun Faya Kun, jika Allah mengehendaki sesuatu, maka ia akan terjadi.
Siapa sangka orang seperti saya yang agak skeptikal dan tidak mahu berkahwin dengan lelaki tanpa dikenalinya akhirnya berkahwin dengan cara tradisional seperti itu? Nak membuka hati kepada seseorang pun makan masa dan mengambil masa untuk menerima mereka, inikan pula apabila melibatkan soal lamaran yang mana jika salah memilih nanti makan hati bertahun-tahun lamanya. Jika tidak serasi pula akan diakhiri dengan penceraian.
Tapi sejak insan ini hadir dalam hidup saya atas izin Allah, banyak yang telah saya pelajari daripadanya. Kami banyak perbezaan, bagai langit dan bumi. Dari segi professional mahupun minat, kebanyakkan adalah tidak sama. Saya suka menonton cerita seram dan thriller, manakala dia pula suka menonton cerita aksi dan fiksyen yang memerlukan proses berfikir. Saya suka makan petai dan makanan pedas, suami saya pula langsung tidak suka kedua-dua makanan itu. Suami saya suka bola, manakala saya langsung tidak suka menonton bola.
Perbezaan antara kami ini jika mahu disenaraikan semuanya, sampai bila tiada kesudahan. Perbezaan antara manusia itu pasti kerana dengan keluarga sendiri pun kita masih mempunyai perbezaan minat dan hobi. Inikan pula pasangan suami isteri, bukan? Tambahan lagi apabila perkahwinan kami bukanlah kerana cinta sebaliknya adalah disebabkan oleh jodoh keluarga. Disebabkan tidak saling mengenali, kami hidup sebagai suami isteri yang less expectation antara satu sama lain dan saling bertoleransi.
Walaupun antara saya dan suami mempunyai banyak perbezaan, namun perbezaan itu tidak menyebabkan kasih sayang antara kami semakin pudar mahupun berjauhan antara satu sama lain. Perbezaan antara saya dan suami itu adalah untuk dipelajari dan dihormati. Perbezaan kami juga menjadikan kami semakin rapat. Misalnya, walaupun saya tidak suka menonton bola, saya masih akan bertanya apa-apa perkara sahaja berkaitan dengan bola.
Perkahwinan saya bersama suami banyak mendidik diri saya untuk mencintai seseorang kerana Allah. Selepas mendirikan rumah tangga selama 3 tahun, saya sedar satu perkara bahawa manusia ini tidak pernah sempurna. Manusia banyak kelemahan dan perbezaan. Namun, jika cinta itu dibina atas nama Allah, kita tulus menerima mereka hatta diri mereka banyak kelemahan dan banyak perbezaan. Dan oleh kerana cinta kepada Sang Pencipta, hati kami semakin bertaut antara satu sama lain.
|
sumber : weheartit.com |
Alhamdulillah, selepas 3 tahun dan semakin mengenal antara satu sama lain, maka cinta itu semakin bertambah dan tidak berkurang. Saya dan suami mula mengenali dan memahami rentak antara kami dan menerima antara satu sama lain. Dia pelengkap hidup saya dan saya adalah pelengkap hidupnya. Jika saya serius dan sedang stress disebabkan tekanan kerja, dia akan berjenaka untuk membuat saya ketawa. Jika saya gelabah dan takut akan sesuatu hal, encik suamilah pendengar yang setia dan menenangkan saya dengan kata-kata positif. Apabila hati terasa, kata-katanya seperti ubat yang merawat jiwa saya yang dalam kedukaan.
Dia menepati cita rasa suami idaman saya yang mana ciri-ciri yang saya sentiasa berdoa kepada Allah dan meminta kepada-Nya, dia hampir memilikinya walaupun bukan semua. Dia bukanlah sempurna, cuma kehadiran dia seolah-olah memenuhi setiap kekurangan dalam diri ini. Dan yang paling penting, saya berasa selesa dan tenang dengannya dan saya berani menjadi diri sendiri.
Alhamdulillah, Ya Allah terima kasih untuk segala nikmat yang Engkau limpahkan kepada diri yang hina ini. Panjangkanlah jodoh antara kami dan rahmatilah hubungan kami mudah-mudahan kami dapat bersama hingga ke syurga. Amin.
Sekian dan Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)
Jangan lupa LIKE! dan SHARE!
Terima kasih :)