Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian.
Hari ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya bercerai susu badan dengan anak yang sekarang ini berumur 2 tahun 5 bulan. Alhamdulillah, sekarang ini sudah masuk bulan kedua anak saya tidur tidak mengempeng di sisi untuk menyusu badan pada waktu malam.
Alhamdulillah, Allah banyak permudahkan urusan saya. Pada awal bercerai susu badan, terseksa rasa hidup sebab anak meronta-ronta menangis kerana mahu mengempeng. Pada ketika itu umurnya dalam setahun 8 bulan (kalau tidak silap). Kesilapan saya sebagai ibu pada ketika itu adalah tidak mempunyai ilmu dan terus mengejut mahu menceraikan anak daripada menyusu badan.
Selepas membuat beberapa pembacaan mengenai cara untuk meleraikan anak daripada mengempeng, barulah saya sedar tindakan saya yang terlalu drastik berhenti menyusu badan itu adalah salah. Tindakan terlalu drastik untuk melatih anak berhenti menyusu badan secara tidak langsung seperti melukai emosi anak saya.
Bayangkan daripada usianya yang masih bayi sehingga setahun lebih hidupnya mengempeng dengan saya, tiba-tiba saya pula secara drastik mengambil 'nikmat' tersebut secara mengejut. Secara analoginya macam anda suka makan aiskrim dan makan aiskrim setiap hari, namun disebabkan faktor tertentu anda tidak boleh makan aiskrim lagi secara mengejut. Mesti perasaan kita pada ketika itu akan memberontak.
Oleh itu, berdasarkan pengalaman, saya akan berkongsi dengan anda tentang cara saya cerai susu badan daripada anak tanpa menggunakan asam jawa, kopi, garam dan sebagainya.
#1 - KURANGKAN KEKERAPAN MENYUSU
Tips pertama adalah mengurangkan kekerapan anak menyusu badan. Disebabkan saya bekerja pada waktu pagi dan pulang ke rumah paling lewat dalam pukul 4.00 petang, maka anak saya hanya mempunyai masa yang agak singkat untuk menyusu badan dengan saya.
Jika saya pulang ke rumah lewat iaitu dalam pukul 4.00 petang dan anak pula akan tidur dalam pukul 10.00 malam, maka anak saya hanya ada masa selama 6 jam untuk meluangkan masa dengan saya untuk menyusu badan.
Walau bagaimanapun, dalam masa 6 jam tersebut tidak dihabiskan untuk mengempeng sahaja, sebaliknya saya akan menghadkan masa dalam 30 minit pada pukul 6 petang dan 30 minit lagi mengempeng ketika hendak tidur. Strategi ini saya lakukan sehingga umur anak saya mencapai 2 tahun.
Dalam melaksanakan strategi cerai susu badan ini, saya melakukan secara fleksibel. Jika anak saya mahu menyusu badan lebih daripada dua kali dalam tempoh 6 jam, maka saya akan memberi peluang kepada anak untuk menyusu badan.
#2 - MENGURANGKAN PENYUSUAN SECARA BERANSUR-ANSUR
Berdasarkan pengalaman, memberhentikan anak secara drastik daripada menyusu badan akan menyebabkan anak saya tergangu emosi terutama ketika hendak tidur. Oleh itu, saya merancang strategi untuk memberhentikan tabiat anak saya secara beransur-ansur. Kaedah ini membantu saya dalam melatih anak mengurangkan tabiat menyusu secara berperingkat.
Jika dalam sehari anak saya akan mengempeng selama 5 kali dalam sehari, saya akan cuba kurangkan kepada 4 kali dalam tempoh beberapa minggu. Kemudian apabila anak saya sudah selesa dengan tabiat mengempeng 4 kali dalam sehari, saya akan cuba kurangkan kekerapan anak mengempeng kepada 3 kali dalam sehari sehinggalah dia berhenti menyusu badan seperti sekarang.
#3 - KERAP MEMBERITAHU ANAK BERHENTI MENYUSU
Dalam tempoh ini juga, saya kerap memberitahu dan mengingatkan anak bahawa akan tiba masa dia (anak) perlu berhenti menyusu. Saya sentiasa mengingatkan anak bahawa dia perlu berhenti menyusu kerana dia sudah besar. Saya juga jelaskan apabila sudah besar, dia perlu menyusu menggunakan botol.
Alhamdulillah, anak saya faham dan lama-lama mengikut nasihat saya itu. Saya mengambil masa selama 6 bulan untuk menerapkan fahaman "sudah besar kena berhenti menyusu" untuk membentuk mind set anak iaitu sejak anak saya berumur setahun 8 bulan sehinggalah usianya mencecah 2 tahun 3 bulan.
Sebab itu orang kata kata-kata ibu bapa itu doa. Jika kita BANYAK mengkritik anak kita, itulah 'doa' kita yang membentuk mind set anak. Maka berhati-hatilah dengan kata-kata dan ucapan yang kita lemparkan kepada anak-anak. Jika anda selalu melontarkan kata-kata yang positif, maka apabila besar nanti jadilah dia insan yang positif.
#4 - BERDOA DAN SABAR
Proses melakukan cerai susu ini bukanlah perkara yang mudah. Lain anak, lain ragamnya. Oleh itu, semasa menghadapi proses ini, sesungguhnya ia mencabar kesabaran kita sebagai ibu bapa. Alhamdulillah, besyukur ke atas nikmat Allah kerana Allah mempermudahkan urusan saya dalam proses cerai susu badan dengan si kecil. Janganlah berhenti berdoa dan paling penting sentiasa sabar menghadapi proses cerai susu ini dengan anak.
Nasihat saya, apabila melakukan apa-apa sahaja perkara yang berkait dengan anak, jangan terlalu mahukan sesuatu hasil itu dengan cepat. Hal ini kerana setiap anak mempunyai fasa atau tempo mereka yang tersendri untuk membentuk persediaan mental mereka dalam bercerai susu badan dengan ibu. Anda perlu sentiasa memberi dorongan dan kata-kata positif kepada anak tanpa jemu.
Setakat ini sahaja perkongsian saya pada hari ini mengenai pengalaman cerai susu dengan anak. Strategi yang saya kongsikan kepada anda pada hari ini tidak banyak kerana saya hanya menggunakan 4 strategi ini sepanjang tempoh 6 bulan untuk meleraikan anak daripada mengempeng dan menyusu badan. Setakat ini, 3 kaedah atau strategi yang saya kongsikan ini berkesan dengan anak saya.
Jika anda pergi ke website lain, mereka memberikan pelbagai teknik dan kaedah yang lebih menarik. Bagi pendapat peribadi saya, buatlah dan laksanakan strategi yang sesuai dengan anak kita. Jika memberikan ganjaran dan hadiah adalah kaedah yang terbaik untuk cerai susu badan, maka buatlah. Ibu bapa lebih tahu kaedah apa yang terbaik untuk anak-anak kerana mereka lebih mengenali anak mereka.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)
Jangan lupa LIKE! dan SHARE!
Terima kasih :)