W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

November 8, 2020

PROGRAM KELUARGA 1 : JOM MASAK LABU



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Beberapa hari lepas, encik suami telah menanyakan soalan kepada saya mengenai sesuatu perkara. Berdebar setiap kali encik suami buka mulut, apalah agaknya soalan yang ingin ditanyakan itu. Bukan apa, kadang-kala gemar betul dia tanya soalan-soalan yang mencabar minda. Saya pula setiap kali soalan-soalan cepu emas itu diajukan, saya akan diam seketika untuk berfikir sejenak tentang soalan itu. Namun, saya rasa keadaan agak berbeza pada hari ini.  

" Hari Sabtu ni, adakah awak ada masa lapang atau sibuk dengan kerja sekolah?"

"Tidak abang, saya lapang. Tidak ada apa-apa kerja yang perlu dihantar dan disiapkan pada hujung minggu ini. Kenapa abang tanya?" soal saya semula kepadanya.



"Ohh, baguslah kalau macam itu. Macam ini, hari Sabtu minggu ni, emak saya ajak pergi ke sana. Emak saya mengajak kita masak sayur labu (dari tanah kita tu) beramai-ramai di rumahnya. Awak okay tak?" 

"Saya okay sahaja, lagipun saya pun sudah lama tak memasak. Inilah peluang saya untuk belajar memasak lauk berasaskan labu. Teringin sangat nak memasak labu tu. Selalu tenung labu dekat pasar/pasar raya, tapi saya tak berani beli sebab tidak pandai masak." Jawabku panjang.

Beberapa hari pun berlalu, tibalah hari yang ditunggu-tunggu iaitu program memasak bersama keluarga mertua. Setibanya kami di sana, tidak pula kami nampak bayang mereka. Yang ada pada ketika itu hanyalah adik ipar yang sedang menyidai baju di ampaian. Encik Suami bertanya kepada adiknya tentang keberadaan kedua ibu bapanya. Rupanya mereka berdua telah pergi ke kebun kopi di Guor. 

Beberapa minit selepas kami tiba di rumah mereka, ibu bapa mertuaku pun pulang ke rumah. Gembira betul mereka apabila dapat peluang untuk berjumpa dengan cucu. Saya terus menyapa bertanyakan khabar dan terus menyalam mereka. Kemudian, ibu mertua terus bergegas ke dapur untuk memulakan program memasak labu itu. 

Pelbagai kudapan dan masakan labu yang ingin dimasak pada hari itu. Antara masakan pilihan kami ialah labu masak lemak, pengat labu dan lepat  labu. Inilah pertama kali saya dapat belajar kesemua masakan-masakan ini menggunaan sayur labu. Inilah peluang saya untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang memasak. Sebagai menantu, kadang-kala saya rasa segan juga dengan ibu mertua apabila mengenangkan diri ini serba kekurangan dalam kemahiran memasak. 

Walaupun mertua TIDAK berkata apa-apa yang negatif dan sering memberikan galakkan kepada saya untuk meningkatkan kemahiran memasak, namun perasaan segan itu tetap hadir dengan sendirinya. Tambah apabila kesemua ipar duai pandai memasak dan mewarisi kemahiran itu daripada mertua, lagi bertambah seganlah diri saya ini.

Maka, beramai-ramailah kami mengerjakan labu di dapur. Encik suami sibuk mengupas dan memotong labu. Saya telah diarahkan untuk memotong dan merendam daun pisang untuk dibuat lepat. Saya tertanya-tanya mengapakah daun pisag ini perlu direndam ke dalam air panas? Mertuaku membalas;

"kita perlu merendam daun pisang itu sehingga berubah warna agar mudah dan tidak terkoyak/pecah ketika melipat daun pisang itu selepas mengisinya lepat labu ke dalam daun pisang nanti."


Usai sahaja aku memotong dan merendam kesemua daun pisang itu, ibu mertua terus memanggil saya untuk memasak terung celup tepung. Saya agak terkejut apabila rupanya sayur terung itu boleh dimasak dan digoreng dengan tepung. Kata ibu mertua, ianya adalah masakan orang jawa. Jika pergi ke restoran-restoran milik orang jawa, masakan ini pasti akan disajikan di gerai-gerai itu. Mengapakah saya sebagai orang jawa tidak tahu menahu mengenai masakan ini? Adeh, dasar orang jawa celup. Huwaaa.

Bagaimakah untuk memasak terung celup tepung? Mudah sangat sebenarnya. Kalian potong sahaja sayur terung itu (memotong sayur terung itu seperti kalian memotong buah pisang untuk dijadikan pisang goreng). Selepas potong, salut terung itu dengan tepung Bestari kemudian goreng. Siap! Mudah sahaja kan?

Selesai sahaja memasak sayur terung celup tepung, ibu mertua mengajak saya memasak labu masak lemak. Selepas selesai memasak masakan itu, kami bersiap-siap untuk makan tengah hari. Seronok perasaan memasak beramai-ramai bersama keluarga mertua dan berkumpul beramai-ramai makan tengari pun bersama-sama.

Kami berhenti seketika untuk makan. Selepas zohor pula adalah aktiviti memasak lepat pisang pula. Lepat pisang pun senang juga untuk dibuat. Labu perlu dikukus sehingga lembut terlebih dahulu. Apabila labu telah dikukus sehingga lembut, labu itu akan dilenyek sehingga hancur dan dicampur dengan bahan-bahan seperti gula, tepung dan garam. Alah, lebih kurang seperti kita membuat adunan lepat pisang. Selepas adunan siap, kalian meletakkan adunan itu di atas lepas pisang dan letaklah sekali dengan inti kepala. Kemudian bungkuslah lepat labu itu seperti kalian membuat lepat pisang. 

Alhamdulillah, maka dapatlah saya belajar memasak pelbagai jenis masakan daripada labu. Penat itu usah cakaplah, Allah sahaja yang tahu. Namun, segala kepenatan itu berbaloi kerana dapat juga aku ilmu-ilmu dalam memasak pada hari ini. Syukur atas nikmat Allah atas kesempatan yang diberikan olehNya. 

Itu sajalah perkongsian saya  untuk hari ini. Sekian dan wassalam. 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)