W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

November 10, 2020

TIPS MENGHARUNGI PERHUBUNGAN JARAK JAUH (PJJ)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Perhubungan Jarak Jauh menguji kesetiaan setiap pasangan.

Topik hari ini saya ingin menulis mengenai Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) atau Long Distantce Relationship. Kebanyakkan kawan-kawan saya telah berada dalam situasi perhubungan seperti ini, iaitu berjauhan daripada pasangan kerana suami dan isteri telah dipostingkan ke tempat yang berbeza dan berjauhan daripada antara satu sama lain.

Sebelum mengulas lebih lanjut, apakah LDR atau PJJ ni? Long Distance Relationship (LDR) atau dalam bahasa melayunya bermakna Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) adalah satu perhubungan antara dua insan yang dipisahkan oleh jarak. Misalnya, korang dah berkahwin, tetapi terpaksa hidup berjauhan selama beberapa tahun atau beberapa minggu kerana faktor kerja.

"Jarak antara dua hati bukanlah penghalang, sebaliknya sebagai
peringatan sejauh mana kukuhnya kasih antara dua pasangan."

 
Saya juga tidak terlepas menghadapi situasi seperti ini. Pada awal perkahwinan (2017), saya bersama suami telah duduk sebumbung selama setahun di Ipoh kerana pada ketika itu encik suami sedang menjalani latihan perubatan (HO) di Hospital Permaisuri Bainun. Saya sempat bersama suami saya dari awal mengandung sehinggalah saya melahirkan cahaya mata. Suami saya sentiasa berada di sisi sepanjang waktu penting itu.

Namun segalanya berubah apabila encik suami telah ditempatkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semasa saya dalam tempoh berpantang pada bulan kedua (hujung tahun 2018). Perasaan saya pada ketika itu bercampur baur. Sedih, kecewa dan berjauhan dengan suami ketika anak masih kecil. Namun saya masih bersyukur kerana saya masih mempunyai ibu bapa untuk menjaga saya sepanjang saya berpantang selama 3 bulan itu.

Mesti kalian tertanya-tanya sudah berapa lama saya telah berjauhan dengan suami? Alhamdulillah, rezeki daripada Allah serta usaha kami suami isteri yang sentiasa bergantung harap daripada Dia, kami berjauhan hanyalah selama 2 tahun. Genap anak saya mencecah umur 2 tahun 3 bulan, saya keluar daripada rumah ibu abah dan tinggal bersama suami dengan menyewa rumah di daerah Kuala Kangsar. 

Jadi, apakah yang telah saya lakukan selama tempoh 2 tahun kami berjauhan daripada suami ketika anak masih kecil? Saya berkongsi sikit apa yang telah saya bersama suami lakukan selama 2 tahun sepanjang berjauhan daripada suami. 

Nota tambahan : Tips yang saya bakal kongsikan ini bukanlah yang terbaik kerana saya mempunyai situasi yang mungkin tidak sama dengan kalian. 


#1 - BERGANTUNG KEPADA ALLAH


Ini adalah tips pertama yang saya pegang dari awal kahwin sehinggalah sekarang walaupun sudah duduk bersama iaitu BERGANTUNG KEPADA DIA. Saya sentiasa berdoa dan berharap Allah menjaga kami dan menjaga hati kami. 

Kita sedia maklum bahawa hati manusia ini sifatnya bolak balik. Sifat hati ini tidak terhad bolak baliknya dalam perihal keagamaan dan iman semata-mata, kadang-kadang perubahan hati manusia itu boleh berlaku dalam hal-hal lain termasuklah dalam alam perkahwinan.

Kita sering dimaklumkan bahawa hubungan jarak jauh ini berisiko jika hati tidak kuat mengharungi dugaan. Antara RSIKO Perhunbungan Jarak Jauh adalah seperti ;
  1. Risiko pasangan curang atau ada hubungan dengan orang lain sepanjang ketiadaan kita
  2. risiko di mana lebih banyak salah faham antara kita dengan pasangan kerana jarang berjumpa
  3. Risiko pasangan penat menghadapi semuanya seorang diri tanpa sokongan daripada pasangan ketika jauh
Adalah beberapa rakan sering menakut-nakutkan saya tentang kecurangan suami kerana ramai jururawat cantik di hospital. Namun, saya percaya kecurangan itu hanya berlaku jika pasangan saya bergantung kepada makhluk lain untuk mengisi kekosongan ketika tidakberadaan saya di sisi suami. Dan hal kecurangan itu juga boleh berlaku kepada diri saya JIKA saya bergantung kepada makhluk ciptaanNya. 

Salah faham juga tidak dinafikan berlaku dalam rumah tangga ketika perhubungan jarak jauh. Namun salah faham juga turut berlaku jika duduk di bawah satu bumbung. Salah faham ini tidak bergantung kepada jarak semata-mata, salah faham adalah mengenai skill atau kemahiran kita dalam berkomunikasi dengan pasangan. 


Risiko pasangan penat kerana menghadapi seorang diri kesusahan yang dihadapi ini pun kerana kekurangan kebergantungan kepada Allah. Pada awal perhubungan jarak jauh, saya kerap juga mengeluh kerana penat menguruskan anak secara keseorangan dan berharap pasangan berada di sisi. 

Kemudian, saya perbetulkan semua 'mind set', saya sepatutnya meletakkan kebergantungan itu kepada Allah dan berdoa semoga Allah menguatkan hati dan fizikal saya sepanjang membesarkan anak tanpa pasangan di sisi. Selepas tukar mind set, saya jarang mengharapkan apa-apa atau mengeluh ketika suami tiada di sisi.


#2 - KEKAL BERFIKIRAN POSITIF


Jujur saya perkatakan, untuk kekal positif teramatlah susah tambah apabila kita berada dalam keadaan penat menguruskan anak. Tambah apabila penat kerana terpaksa menghadapi situasi tempat kerja yang jauh dari rumah. Tipulah jika saya tidak pernah meletup. 



Apabila duduk jauh daripada pasangan, saya cuba PAKSA DIRI untuk kekal positif dan apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Saya cuba tukar mindset bahawa kepenatan yang saya hadapi ini, pasti akan ada sinar harapan. Saya akan cuba cari nilai-nilai positif yang ada di sekitar saya dan cuba yakinkan diri untuk sentiasa BERSYUKUR, seperti ;

Paling kurang aku ada rumah dan tempat tinggal yang selesa.

Paling kurang aku ada ibu bapa yang sentiasa menyokong di belakang.

Paling kurang anak aku sihat dan ceria.

Paling kurang suami  sangat memahami dan cuba ambil alih tugas aku setiap kali pulang ke rumah.

and list goes on. Cuba kira berapa banyak nikmat yang Allah bagi kepada kita. Fokus apa yang kita ada dan orang lain belum tentu ada apa yang kita ada pada hari ini. Please count the blessing. 


#3 - AMBIL PELUANG MENYUMBANG TENAGA BERSAMA PASANGAN


Alhamdulillah, saya beruntung kerana Allah mengurniakan  seorang suami yang sangat baik hati, memahami dan penyayang. Sepanjang kami berjauhan, jika encik suami cuti pada hujung minggu, pasti dia akan pulang ke Kuala Kangsar untuk melawat anak dan isteri. Kepulangan encik suami ke pangkuan kami bukan untuk beristerehat semata-mata. 

Kerjaya encik suami sebagai ahli perubatan sudah pasti sentiasa tidak cukup rehat dan tidak cukup makan dek kerana kesibukan di tempat kerja. Namun, atas dasar tanggungjawab seorang suami dan seorang bapa yang tidak dapat dijalankan pada hari-hari biasa, encik suami sanggup mengorbankan waktu rehat pada hujung mimggu semata-mata untuk ambil alih tugas saya sebagai seorang ibu. 

Misalnya, biasanya dalam pukul 3.00pagi hingga pukul 4.00 pagi, anak kami akan menangis untuk menyusu. Encik suami akan bangun tengah pagi  buta untuk membancuh susu anak. Kalau ikutkan penat, encik suami boleh sahaja mengejutkan saya untuk bancuh susu anak jika saya tidak sedar. Sebaliknya, dia sanggup mengorban waktu tidur agar saya dapat rehat yang cukup pada cuti Sabtu Ahad.

Dalam bab membesarkan anak, kedua-dua pihak suami dan isteri perlu saling berkorban dan saling bertolak ansur dalam membina sebuah keluarga yang baik.Dalam perhubungan ini, it takes two to tango dan ianya memerlukan kerjasama kedua-dua pihak dalam membina sebuah kerluarga harmoni.  


#4 - BERKOMUNIKASI SETIAP HARI DENGAN WHATSAPP/TELEGRAM/FACEBOOK .

Berkomunikasi adalah rutin kami setiap hari. Bukan seminggu sekali tetapi SETIAP HARI. Ya, setiap hari. Saya sentiasa mengirimkan whatsapp kepada suami, dan suami juga melakukan sedemikian. Kami akan sentiasa bertanya khabar, dan membuat video calling agar saya dan anak dapat berhubung dengan encik suami. Biasanya kami akan melakukan video calling pada waktu malam lepas waktu isyak.

Jika kalian membaca buku berkaitan dengan perhubungan suami isteri atau perhubungan antara lelaki dan perempuan, komunikasi adalah salah satu daripada tunjang utama dalam mengukuhkan sesuatu perkahwinan. Kita tidak akan faham mengenai suami jika suami tidak bercakap dan ianya juga berlaku di sebaliknya.  

Salah faham dalam perkahwinan itu perkara biasa. Jika salah faham boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-taulan, mengapakah ianya menjadi masalah besar jika melibatkan suami isteri? Salah faham itu adalah sebahagian daripada proses komunikasi dan ianya menunjukkan mesej yang disampaikan itu tidak disampaikan dengan cara yang betul. Cuma yang menjadi persoalannya ialah bagaimana cara kita mengendalikan salah faham itu?

KESIMPULANNYA

Saya tidak pernah meletakkan isu perhubungan jarak jauh akan memberi kesan besar kepada pehubungan saya dengan suami. Jarak adalah jarak. Hubungan antara saya dan encik suami dibina atas dasar percaya, tanggungjawab dan komitmen. Jarak itu hanyalah satu bentuk halangan untuk menguatkan lagi asas kepercayaan, tanggungjawab, komitmen dan kebergantungan kami kepada Dia. Yang penting, it takes two to tango dalam mengukuhkan perhubungan jarak jauh.

Sekian sahaja daripada saya dan wassalam.


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)